Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan Mukhriz mengaku rakyat Brunei tak tepat - Setiausaha
Diterbitkan:  Jan 26, 2018 4:56 PM
Dikemaskini: 3:59 PM

Kemaskini Laporan sebuah akhbar yang mengatakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengaku sebagai rakyat Brunei ketika berada di luar negara adalah tidak tepat.

Setiausaha akhbar kepada timbalan presiden BERSATU itu, Mohd Fisol Jaafar berkata kenyataan Mukhriz sebenarnya disalah petik oleh Sinar Harian.

Bercakap kepada Malaysiakini, Fisol berkata apa yang dimaksudkan Mukhriz adalah rakyat Malaysia secara umum berasa malu dengan imej negara yang tercemar di mata dunia.

Terdahulu Sinar Harian hari ini melaporkan anak sulung bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata beliau berasa malu untuk mengaku berasal dari Malaysia.

Menurut laporan itu, Mukhriz berkata beliau sedih apabila Malaysia kini hanya dikenali akibat salah laku pemimpin negara dan bukannya kerana kemajuan.

"Waktu pi (pergi) luar negara atau umrah dan ditanya dari negara mana, saya malu mengaku dari Malaysia, tapi jawab dari Brunei.

"Bila jawab Malaysia, orang akan tanya kenapa negara cukup bermasalah, dahulu cukup hebat dan gah, tetapi hari ni cukup teruk," katanya yang dipetik oleh akhbar berkenaan.

Mukhriz dilapor berkata demikian dalam progam Sarapan Pagi bersama penduduk Kampung Jernang, Mukim Bakai di Baling, Kedah, hari ini.

Bekas menteri besar Kedah itu juga dilapor berkata Pakatan Harapan akan memulihkan negara ini dan meletakkan malaysia di landasan yang betul.

Katanya, antara agenda penting HARAPAN ialah menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat, dan bukannya warga asing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun mendakwa bapa Mukhriz merekayasa tuduhan palsu berhubung rasuah terhadapnya dengan tujuan menumbangkannya.

Penyokong Najib mendakwa Mahathir melakukan semua ini untuk membuka jalan bagi membolehkan Mukhriz menjadi perdana menteri.

Lihat Komen
ADS