Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar perlu bentang kajian mengenai ketum - Shahidan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meminta pihak-pihak yang berbeza pendapat berhubung penanaman ketum secara komersial supaya memberi peluang kepada pakar membentangkan kajian mereka.

Katanya walaupun ada laporan atau kajian tumbuhan tersebut mempunyai khasiat dari segi perubatan namun dari segi perundangan pula perkara tersebut belum mencapai kata putus.

“Perkara ini telah dua kali dibawa ke Parlimen. Kita hendak kategorikannya sebagai dadah pun tidak boleh kerana kandungannya bukan dadah. Ketum hanya memberi kesan tidak baik apabila dicampur dengan bahan lain.

“Justeru, kajian lengkap perlu dilaksanakan oleh pakar dan dibentangkan kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas perbezaan pendapat antara Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin berhubung perkara itu.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada 54 murid Sekolah Rendah Kebangsaan (C) Chin Hun di Sanglang, hari ini.

Azlan sebelum ini bertegas menolak cadangan menanam ketum secara komersial di Perlis bagi mencegah masalah sosial akibat penyalahgunaan tumbuhan itu dan mahu ketum yang diletak di bawah Akta Racun 1952 ditukar kepada Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zahidi dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lepas menyifatkan Azlan sebagai tidak cerdik kerana menolak buta-buta cadangan menanam ketum untuk eksport untuk membantu rakyat yang bergantung hidup kepada hasil ketum.

Shahidan berkata walaupun kedua-dua pemimpin itu mempunyai pandangan dan alasan tersendiri, beberapa aspek seperti kelebihan ketum menggantikan dadah untuk tujuan perubatan harus diambil kira.

“Saya bagaimanapun menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan setelah menghalusi laporan dan cadangan pakar,” katanya dan menambah isu tersebut tidak wajar diperbesarkan lagi.

Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) akan digerakkan untuk membantu mengawasi kawasan tadahan di Cameron Highlands, Pahang.

Katanya persetujuan itu dicapai hasil perbincangan antara beliau dan ketua pengarah Jabatan Perhutanan semalam selain kawasan tadahan yang ditebang balak secara haram perlu dipulihkan serta merta bagi mengatasi kesan negatif terhadap alam sekitar. -Bernama

Lihat Komen
ADS