Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Malaysia setuju latihan tentera udara bersama India

Malaysia dan India berhasrat meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan termasuk mengadakan eksesais ketenteraan udara bersama dan menangani isu keganasan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, di New Delhi hari ini

Perdana Menteri berkata, pada pertemuan bilateral dengan rakan sejawatannya. Narendra Modi, kedua-dua negara bersetuju mengadakan latihan ketenteraan udara bersama, khususnya dalam penugasan taktikal pesawat Sukhoi.

Beliau berkata Modi mencadangkan supaya pasukan Tentera Udara India boleh singgah di Malaysia untuk mengadakan eksesais bersama semasa mereka dalam perjalanan balik atau pergi untuk misi sama bersama Australia.

"Saya bersetuju dengan eksesais udara bersama diadakan kerana mereka mempunyai pengalaman dari segi penugasan taktikal pesawat Sukhoi dan juga kita hendak melihat bagaimana mereka boleh bantu dalam penyelenggaraan pesawat Sukhoi,” katanya kepada pemberita Malaysia di New Delhi.

Najib kini berada di ibu negara India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India yang juga bersempena dengan Hari Republik ke-69 negara itu.

India juga ada Scorpene

Menurut Najib, kedua-dua negara juga berharap dapat meningkatkan kerjasama antara angkatan tentera laut terutama sekali dalam aspek pertempuran kapal selam.

“Ini kerana mereka ada kapal selam Scorpene yang turut dimiliki oleh Malaysia dan ini menunjukkan kapal selam itu merupakan aset yang terbaik kerana turut dimiliki oleh India yang merupakan antara angkatan tentera laut terbaik.

“Sebab itu bila pembangkang kata kapal selam ini (Scorpene) tak boleh menyelam ini adalah mengarut kerana India pun beli dan banyak negara lain pun beli,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata Modi turut menyatakan minat berhubung program deradikalisasi yang dilaksanakan Malaysia yang mencatat kejayaan tinggi dan menjemput Malaysia untuk menjadi hos bersama untuk menganjurkan persidangan berhubung program tersebut.

Pada pertemuan sama, Najib berkata beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Modi atas kejayaan negara itu mencatat kepesatan ekonomi memberangsangkan serta kejayaan parti pemerintah pimpinan perdana menteri itu, Parti Bharatiya Janata (BJP), yang menguasai 19 daripada 29 negeri di India.

“Barangkali juga dalam sejarah politik ini di mana parti BJP dapat menunjukkan kekuatan kemantapan dan atas konsolidasi yang mereka lakukan ini bererti lebih mudah untuk India membawa pembaharuan dan perubahan struktur dan mencapai kadar pertumbuhan lebih tinggi,” katanya.

Tambah kerusi syarikat penerbangan

Mengenai hubungan bilateral kedua-dua negara, Najib menyifatkan Malaysia dan India telah mencapai banyak kemajuan dan perkembangan bersama dan kini mempunyai hubungan dan lebih akrab dan selesa.

Dalam pertemuan itu, kata Najib, beliau turut berbincang mengenai peluang untuk meningkatkan jumlah kerusi bagi syarikat penerbangan ke India, daripada tambahan 1,861 yang dipersetujui oleh kerajaan India ketika kunjungan beliau pada akhir Mac tahun lepas.

Pada lawatan tersebut, Malaysia dan India telah memperbaharui Perjanjian Perkhidmatan Udara bagi menambah jumlah kerusi syarikat penerbangan dan sekali gus menggalakkan industri pelancongan kedua-dua negara.

Mengulas pemberian anugerah berprestij kebangsaan India, anugerah 'Padma Shri’ kepada penari dan koreografer tarian klasik India terkenal Malaysia, Datuk Ramli Ibrahim, Najib berkata ia merupakan satu penghormatan tertinggi kepada ikon terkenal dalam kalangan orang seni itu.

Ramli merupakan antara 10 individu dari negara anggota ASEAN yang akan menerima anugerah tersebut sempena Hari Republik India tahun ini, sebagai pengiktirafan di atas sumbangannya selama ini. -Bernama

Lihat Komen
ADS