Tinjauan rambang di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini menunjukkan ramai rakyat Malaysia tidak setuju dengan rancangan boikot atau membuat undi rosak pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
"Tak perlulah (berbuat begitu)...Lebih baik duduk di rumah, buat apa pergi (mengundi) untuk rosakkan undi?" kata warga emas Abu Bakar Siddiq kepada KiniTV.
"Sebagai rakyat Malaysia ini tanggungjawab kita. Tak perlu boikot, undi rosak," katanya.
Abu Bakar adalah antara sejumlah warga Malaysia yang ditemui KiniTV dalam tinjauan di Bangsar, Rabu lalu.

Kempen yang dinamakan #UndiRosak kini sedang berjalan di media sosial, yang menggesa orang ramai agar merosakkan undi mereka pada PRU ke-14 jika mereka tidak berpuas hati dengan semua parti yang bertanding.
Mohd Isnin Abd Jalil pula berkata, pengundi wajib membuat pilihan memandangkan kerajaan yang dibentuk bakal memberikan kesan kepada hidup mereka.
"Siapa yang kita undi akan tanggung (membuat dasar dan keputusan untuk) kita semua. Jadi janganlah salah undi," katanya.

Bagi Ma Jing Da, walaupun ada yang tidak berpuas hati sepenuhnya dengan Pakatan Harapan, memberikan undi kepada mereka adalah lebih baik daripada pilihan yang lain.
"BN telah memerintah negara ini sekian lama, ramai orang yang tidak berpuas hati. Kita selaku rakyat perlu menggunakan undi untuk menentukan masa depan kita.

"Walaupun mereka tiada keyakinan atau harapan yang tinggi terhadap HARAPAN, namun sekurang-kurangnya sedikit perubahan adalah lebih baik daripada tiada langsung," katanya.
Dr M cetus rasa tak puas hati
Peniaga Azhar Noh juga senada dengannya, dengan berkata PRU kali ini adalah peluang untuk mengubah kerajaan.
"Kalau boikot, kita tak akan dapat kerajaan baru.
"Kita berhak untuk menentukan kerajaan baru, tambahan pula dengan keadaan ekonomi sekarang," katanya.
Ingin tahu 'kuasa' undi anda? Undi Power akan menjelaskannya.
Kempen #UndiRosak semakin hangat diperkatakan mutakhir ini, tetapi tidak jelas sejauh mana capaian sokongan terhadapnya.
Anggota sekretariat Bersih Mandeep Singh berkata berdasarkan pemerhatian di media sosial, punca utama kempen itu adalah kemungkinan yang Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali berkuasa.
Justeru, Mandeep mencadangkan yang penyokong #UndiRosak untuk menghalakan tumpuan mereka terhadap Mahathir sendiri, daripada meminta orang ramai untuk merosakkan undi.
Mahathir dan beberapa pemimpin HARAPAN juga membantah kempen itu dan telah menggesa agar orang ramai keluar mengundi pada PRU nanti.
