Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 23 Januari lalu, ketika berucap di Seminar lnvest Malaysia 2018 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi memperaga angka-angka memberangsangkan tentang ekonomi termasuk pertumbuhan, pelaburan, pasaran modal, pekerjaan dan sebagainya.

Beliau menyatakan komitmen untuk meningkatkan pengukuhan "ketelusan dan akauntabiliti".

Soal besarnya, mampukah Najib menyuntik keyakinan pelabur di saat-saat seperti ini?

Mentelahan 2018 adalah tahun Pilihan Raya Umum Ke-14, Najib mengambil kesempatan mengecam pihak pembangkang.

Kata-katanya sinis dan keras terhadap pengkritik dasar dan amalan serta kepincangan tadbir urusnya.

Najib acap kali lupa, komuniti pelabur adalah golongan yang amat peka dan berpengetahuan tentang ekonomi makro dan mikro termasuk perihal skandal-skandal mega sebuah negara. Mereka perlu tahu pelbagai sisi profil risiko pelaburan mereka.

Menteri Kewangan paling corot

Umum masih belum lupa e-majalah kewangan Finance Asia meletakkan Najib sebagai 'Menteri Kewangan Paling Corot' pada tahun 2016.

Ketika itu, skandal 1MDB meletup dan nilai ringgit menjunam sementara rakyat amat terbeban dengan lonjakan kos sara hidup.

Sementara Najib ghairah dengan angka-angka 'ajaibnya', bagaimana agaknya Finance Asia akan menilai beliau untuk 2018, akibat perihal skandal baru termasuk 'Felda-KL Vertical City'? Beliau adalah menteri yang bertanggungjawab.

Juga begitu pertikaian urus niaga pembelian tanah RM2 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan MOF lnc yang menggunakan syarikat RM2, MKD Signature SB, yang membeli 51 peratus saham dari Mulia Property Development, pemilik 'The Exchange 106' di Tun Razak Exchange (TRX).

Perihal Felda membeli Eagle High Plantation masih belum dilupai pihak penganalisis. Banyak tanda tanya pihak pelabur yang mesti dijawab.

Bagaimana pula dengan 'bailout' mega oleh dana PNB dan KWSP sebanyak RM8.7 bilon (£1.6b) dalam kes 'Battersea Power Station' di London milik konsortium Sime Darby-Setia? Cakap-cakap Najib tentang meningkat ketelusan dan akauntabiliti memang macam tin kosong!

Tolak tepi kritikan pembangkang kalau itu yang Najib kurang senang.

Nah, kita perhatikan apa kata pakar-pakar ekonomi tempatan tentang 'keajaiban' polisi ekonomi Najib (atau Najibnomiks) yang mahu dijaja dan diperaga sebelum PRU14 ini?

Angka pertumbuhan bukan ukuran terbaik

Bercakap tentang pertumbuhan, Najib tentunya bangga dengan 5.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2017 tetapi malangnya segera ditempelak oleh seorang pakar ekonomi tempatan, Dr Muhammad Khalid.

Muhammad dalam kenyataan baru-baru ini mengingatkan Putrajaya, bahawa angka 'pertumbuhan' bukanlah ukuran terbaik menilai 'kesihatan' ekonomi negara.

Ia hanyalah penunjuk pengeluaran di segi jumlah produk dan perkhidmatan dalam sebuah negara.

Pertumbuhan, contohnya tidak memaparkan kadar hutang akibat pacuan "pembangunan'', pencemaran akibat pembalakan atau perlombongan bauksit, serta tidak menerangkan sama ada kekayaan dijana KDNK dinikmati semua lapisan rakyat.

Mengaitkan KDNK dengan kesejahteraan (well-being) kerja 'bodoh' tegas beliau.

Ini bukan pembangkang cakap, walaupun saya sendiri telah lama menulis hal ini. Isunya tegas Muhammad, sama ada pertumbuhan menjana peluang pekerjaan yang adil dan upah yang baik serta 'bermaruah' untuk pekerja.

Ekonomi dikatakan 'sihat-sejahtera' apabila semua kategori khususnya 'Bawah-40' (B-40) mendapat manfaat bersekali dengan golongan Menengah (M-40) dan T-20.

Pendapatan golongan rendah

Najib wajar diingatkan, di antara 2014 dan 2016 ketika ekonomi tumbuh, data dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan pendapatan golongan rendah menurun.

Nisbah jumlah pendapatan isi-rumah (share of total income) golongan B-40, mengikut EPU, menurun ke dari 16.8 peratus pada tahun 2014 ke 16.4 peratus pada 2016!

Najib tidak layak berbangga kerana beliau masih gagal menjana pertumbuhan yang 'inklusif'.

Seorang Profesor Ekonomi dari Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berpendapat 'kita perlu merubah ekonomi daripada berasaskan penggunaan (consumption-based) kepada lebih berasaskan pelaburan (investment-based).

Kerajaan perlu menimbang beberapa dasar agar lebih mapan dan produktif dalam jangka panjang. Najib wajar akui hakikai itu.

BRIM tidak salah tetapi tegas beliau kerajaan mesti memperbanyakkan peluang pekerjaan dan berusaha kurangkan penerima BRIM.

Persoalan kebolehpekerjaan adalah pokok seperti yang selalu ditegaskan kami dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tambah pendapatan

Seorang pakar ekonomi terkemuka Prof Tan Sri Kamal Saleh juga berpandangan bahawa "pendekatan menambah pendapatan" (increase of wages) adalah lebih baik dari program BRIM (cash handout).

Menurut beliau, sementara bantuan BRIM tahunan mempunyai kesan kecil sebanyak 0.04 peratus daripada pendapatan negara, bayaran gaji minima mempunyai kesan penting pada 4 peratus.

Tegasnya, negara tidak akan mencapai prestasi ekonomi yang tinggi dengan 'Ekonomi BRIM' ini.

Bukan pula untuk memperlekeh 'Uber-Economy'. Tapi al-maklumlah, mana pekerjaan graduan STEM (Sains, Teknologi, Matematik dan Engineering) yang ditanya sebuah NGO pendidikan, PAGE?

Jurang yang wujud

Sementara itu Bekas Penolong Gabenor BNM, Lin See-Yan mengingatkan Najib bahawa cakap-cakap tentang TN50 mesti bermula dengan reformasi pendidikan, hentikan penggunaan buruh asing yang murah dan pertingkatkan industri dan produktiviti serta produk yang punya nilai-tambah yang tinggi.

Beliau ingatkan supaya tidak perlu menyolek angka pertumbuhan (sugar-coated) yang lemah (fatigue).

Tegas beliau wujud jurang (disconnect) antara statistik kerajaan yang 'cantik' dengan kehidupan rakyat yang terbeban dengan himpitan kos sara hidup yang tinggi.

Indeks Sentimen Pengguna semua merosot akibat GST dan kos barang tinggi. Jualan runcit jatuh dan angka pertumbuhan dipacu oleh eksport, terutama dalam bidang pembuatan iaitu elektrik dan elektronik (E&E).

Tetapi umum tahu, produk E&E negara kita punya nilai tambah yang kecil dan bahan-bahan input hampir semua diimpot.

Tak boleh sangat hendak berbangga dengan keupayaan produk kita. Cabaran Revolusi Industri 4.0 lebih menggigit lagi.

Hutang persekutuan meningkat

Bercakap tentang disiplin fiskal, cukup untuk dipetik kritikan seorang lagi Profesor Ekonomi tersohor, Dr Jomo Sundaram.

Akibat dari ekonomi yang 'berbelanja besar' (excessive spending), hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak 10 peratus setiap tahun dari RM123.1 bilion pada 2007 dan melonjak ke paras RM 687.43 bilion pada September 2017.

Menurut unjuran majalah The Edge, hutang akan mencecah RM1 trilion pada 2021, RM2 trilion pada 2028 dan RM3 trilion pada 2032!

Bayaran bunga (interest) hutang sahaja mencecah RM30.88 bilion pada 2018. Ini bermakna 71 peratus daripada pungutan hasil GST (RM43.8 bilion) adalah untuk bayaran bunga hutang!

Profesor Jomo berpandangan amat mustahak untuk kepimpinan negara membuat perbelanjaan pembangunan dan bukan meningkatkan kos pengurusan.

Sembunyi perbelanjaan

Salah satu 'kecurangan' Najib adalah menyembunyikan perbelanjaan pembangunan infrastruktur daripada belanjawaan persekutuan dengan cara menggunakan 'off-budget or off balance-sheet spending'.

Sekali gus kritik Jomo, ini menjadikan urus niaga pelaburan tidak telus dan tidak bertanggungjawab kepada Parlimen dan melonjakkan jumlah hutang secara 'senyap' (contingent liabilities).

Hampir semua pembangunan mega termasuk ECRL, TRX, Bandar Malaysia adalah perbelanjaan sebegini. 1MDB dan Felda adalah 'mercu-tanda kejayaan' Najib serta cerminan disiplin fiskalnya yang amat bobrok.

Jomo dan ramai pakar ekonomi lain telah kerap mengkritik Najib akan pelbagai perihal tadbir urus ekonomi negara. HARAPAN juga telah acap kali menyelar keculasannya!

Persoalan besarnya, mampukah Najib menyuntik keyakinan pelabur setelah kerja dan buatnya tidak seperti komitmen cakap-cakapnya?

Ataukah lebih tepat lagi mampukah negara dan rakyat 'survive' satu penggal lagi akibat keculasan dan kleptokrasi tadbir urus ekonomi Najib ini?


DR DZULKEFLY AHMAD  Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH)

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS