Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar dituduh curi telefon cikgu masih di ICU

Keluarga pelajar sekolah berusia 13 tahun yang cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri iPhone milik gurunya baru-baru ini telah membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat kejadian itu segera.

Ibu saudara kepada pelajar berkenaan, Vinothini Kalaivanan, berkata suaminya, Manogaran Retom meminta polis mengambil tindakan terhadap guru terbabit kerana menyebabkan anak saudara cuba menggantung diri.

Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis Seberang Perai Tengah pada pukul 6.18 petang semalam.

Vinothini berkata anak saudaranya masih dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU).

"Doktor mengatakan dia tidak boleh keluar dari hospital lagi.

"Kami sangat bimbang dia akan kehilangan nyawa. Ibu bapanya terlalu sedih atas kejadian ini," kata Vinothini kepada Malaysiakini.

Katanya, keluarganya cuba menemui guru berkenaan tetapi dia tidak berada di rumah.

Mereka kemudian mendapatkan bantuan NGO Malaysian Tamilar Kural bagi menghubungi pihak sekolah.

"Vasantha tidak bersalah dan kami harap tindakan diambil terhadap guru itu," katanya.

Laporan polis menyatakan yang walaupun berulangkali menafikan perkara itu, pelajar tingkatan satu itu didakwa dikurung di sebuah bilik oleh guru terbabit dan didesak untuk mengaku.

Manogaran mendakwa yang anak saudaranya tidak diberi makanan ketika ditahan di sana.

Guru itu juga menyoal pelajar lain, dan semua pelajar mempertahankan anak saudaranya dengan berkata dia tidak mencuri telefon itu, katanya.

Dalam laporannya, Manogaran mendakwa yang guru itu dan suaminya, juga seorang cikgu, kemudian membawa pelajar itu pulang ke rumahnya.

Di sana, dia sekali lagi dituduh mencuri telefon di hadapan ibu bapanya.

Pada 8.20 malam hari yang sama, dia menulis nota kepada guru tersebut dan ibu bapanya dan kemudian cuba menggantung dirinya dengan selendang.

Mujurlah perkara itu sempat disedari bapanya.

"Bapa dan adik beradiknya sempat memotong selendang itu. Saya kemudian bergegas membawanya ke hospital," kata Manogaran.

Keluarganya menemui sekeping nota di biliknya, bertulis, "Tiada siapa yang bersalah atas kematian saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang dikasihi kerana menjaga saya. Maafkan saya. Cikgu, saya bersumpah tidak mencuri telefon kamu."

("Nobody is responsible for my death. I want to thank my lovely parents for taking care of me. I am so sorry. Teacher, I never took your phone. I promise".)

Keadilan akan ditegakkan

Setiausaha NGO Malaysian Tamilar Kural Satees Muniandy menggesa orang ramai berdoa agar pelajar itu kembali sembuh.

Beliau berkata, ibu bapanya terlalu tertekan untuk berhadapan perkara ini dan amat bersedih dengan keadaan anak mereka.

"Keluarga sangat terkejut dengan insiden ini; dan ada usaha untuk mengalihkan kesalahan kepada pelajar itu dan bapanya, sedangkan puncanya adalah guru tersebut," katanya yang juga setiausaha DAP Batu Kawan.

Katanya, Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy telah berjumpa dengan keluarga pelajar itu dan memberi jaminan akan memberi keadilan kepada mereka.

"Ketika ini, kami (NGO) memberikan bantuan guaman dan sokongan moral kepada keluarga dan akan memastikan pelajar ini mendapat keadilan," katanya lagi.

Pihak sekolah guru dan pelajar tersebut enggan mengulas tentang kejadian itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Teoh Seang Hooi berkata mereka memandang serius insiden yang berlaku.

"Kami akan memastikan keadilan buat pelajar ini. Pada masa sama kami berharap semua pihak menunggu polis menjalankan siasatan secara saksama tanpa campur tangan politik," katanya.

Beliau juga yakin Jabatan Pendidikan akan turut menyiasat insiden itu.

"Saya menggesa semua pihak untuk membolehkan siasatan dijalankan tanpa takut dan pilih kasih, agar keadilan dapat ditegakkan buat mangsa," katanya yang juga bekas ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Lihat Komen
ADS