Setiausaha pejabat anggota parlimen Batu mendakwa diserang di pasar malam di flat PKNS di Jinjang Utara malam Khamis lalu.
Bercakap kepada wartawan hari ini, Rozan Azen Mat Rasip berkata dia dan seorang sukarelawan pejabat Tian Chua tiba di pasar malam itu untuk mengedarkan kalendar tahun baru ketika mereka dihalang oleh tiga individu.
“Selain tidak membenarkan kami meneruskan gerak kerja berjumpa dengan pengunjung pasar malam, kami telah dilemparkan dengan pelbagai kata-kata kesat, maki hamun yang melampau, dan mengugut kami.
“Walaupun cuba bertanyakan rasional larangan dan amaran serta sikap biadab mereka itu, namun mereka tetap berkasar dengan mula menyerang saya secara fizikal sehingga menyebabkan kecederaan ringan di muka.
“Tiga individu berkenaan terus menjerit dengan kuat menyatakan bahawa kami wakil PKR dan pejabat anggota parlimen Batu tidak boleh memasuki pasar malam tanpa kebenaran mereka, dan bendera parti (PKR) tidak boleh dikibarkan," katanya.
Ditolak dan dicekik
Menurut Rozan lagi, setelah itu, dia cuba mengalah dan beredar dengan perlahan namun tiga individu itu terus berkasar.
“Saya berterusan telah dikasari dengan ditolak secara fizikal, dicekik di leher dan di muka sehingga mendatangkan kecederaan di wajah,” katanya sambil menunjukkan bekas luka di sebelah kiri dagunya kepada media.
Ekoran kejadian itu, Rozan membuat laporan polis di IPD Sentul sebelum membuat pemeriksaan kecederaan di Hospital Kuala Lumpur.
Salinan laporan polis itu diedarkan kepada media.
Rakaman video dan suara kejadian itu juga ditunjukkan.
Individu yang terlibat dalam kejadian itu turut membuat laporan terhadap Rozan dan mendakwa pembantu Tian Chua itu memperovokasi dan tidak memberi kerjasama apabila diminta beredar dari pasar malam.

Rozan mendakwa tiga individu berkenaan merupakan “ahli Pemuda Umno” namun dia mengaku tidak tahu nama atau jawatan mereka dalam parti itu.
Tian Chua yang turut hadir pada sidang media kesal dengan kejadian itu dan berkata PKR tidak pernah menghalang mana-mana parti politik mengedarkan maklumat kepada pengundi di kawasannya.
Tian Chua juga menggesa pemimpin Umno bertanggungjawab sekiranya benar Pemuda Umno terlibat.
“Tidak seharusnya sebuah parti politik yang dikaitkan dengan kerajaan pemerintah, mempunyai anggota yang terlibat dengan aktiviti seperti itu.
“Saya menggesa pemimpin BN dan Umno mengambil tindakan tegas untuk memastikan keharmonian masyarakat terutamanya dalam kempen pilihan raya akan datang,” katanya.
Tian Chua dan Rozan menggesa polis menyiasat kejadian berkenaan.
Provokasi dan tolak-menolak
Sehari selepas kejadian itu, salah seorang AJK penganjur pasar malam bernama Ridzwan Mohd Ali membuat laporan polis terhadap Rozan.
Dalam laporan itu, Ridzwan mendakwa dia mengingatkan Rozan agar tidak membawa tiang bendera yang dilihat sebagai membahayakan keselamatan.
"Saya menegur kedua-dua mereka dan beritahu jika mahu edar kalendar, sebagai penganjur pasar malam, saya benarkan tapi mereka tak boleh bawa bendera PKR kerana ia diikat pada tiang kayu yang tajam yang boleh membahayakan orang awam.
"Apabila saya nasihatkan mereka, salah seorang daripada mereka tidak puas hati dan kata kepada saya 'Siapa kamu? Atas undang-undang apa yang halang kami daripada memegang bendera dan tiang bendera?'
"Selepas itu, sedikit pertengkaran mulut dan tolak-menolak terjadi antara kedua-dua pihak sebab mereka enggan dengan arahan saya.
"Lelaki berbaju PKR itu terus membuat provokasi terhadap saya dan AJK lain," kata Ridzwan dalam laporannya.
Dia menambah, laporan itu dibuat kerana mendapat tahun Rozan menuduh dikasari, dipukul, dan dicekik dalam kejadian itu.
"Saya dan dua AJK lain tidak pukul dia, sebaliknya apa yang jadi adalah pertengkaran dan tolak-menolak.
"Saya buat laporan ini kerana ingin menyatakan hal sebenar. (Saya halang mereka) untuk menjaga keselamatan pengunjung dan peniaga pasar malam," tambah Ridzwan lagi.
Pemuda Umno nafi terlibat
Sementara itu, ketika dihubungi, Ketua Pemuda Umno Batu Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menafikan tuduhan Rozan dan berkata tiga individu berkenaan merupakan penganjur pasar malam berkenaan.
“Pemuda Umno Batu tidak terlibat, mereka adalah ahli jawatankuasa (AJK) penganjur pasar malam berkenaan,” katanya melalui pesanan ringkas kepada Malaysiakini.
Gulam Muszaffar menjelaskan AJK berkenaan menghalang Rozan memasuki pasar malam itu kerana membawa tiang bendera bersama yang dilihat sebagai membahayakan keselamatan.
“Tahu tak Rozan bawa kayu tajam (tiang kayu) dengan bendera (PKR) untuk tujuan berkempen? Ini boleh membahayakan pelanggan yang datang pasar malam untuk membeli makanan.
"AJK akan dipertanggungjawabkan dan mereka mempunyai tanggungjawab melindungi pelanggan dan peniaga.
“Jadi AJK berkenaan sebagai penganjur pasar malam mempunyai hak untuk menghalang dia bawa kayu tajam," katanya.
Gulam Muszaffar mendakwa, selepas dihalang mengedar kalendar dan diarah beredar, Rozan bersikap biadab terhadap AJK.
"Lagipun dia tidak buat permohonan rasmi untuk mengedarkan kalendar,” tambahnya.
Apabila ditanya sumber maklumat itu, Gulam Muszaffar bagaimanapun tidak memberi jawapan.
Daripada pemerhatian Malaysiakini berdasarkan rakaman video dan suara kejadian berkenaan, tiada kedengaran sesiapa berkata berkenaan tiang bendera yang membahayakan keselamatan.
