Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pokok tak berbuah pun PAS panjat'
Diterbitkan:  Jan 29, 2018 1:49 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Jauh daripada angan-angan Mat Jenin, PAS adalah susuk yang yakin dan penuh sabar untuk mencapai kejayaan walaupun memakan masa yang panjang.

Kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang PAS bukan parti yang laksana Mat Jenin kerana cuma memanjat pokok berbuah namun mati akibat bergayut di dahan rapuh.

Sebaliknya, kata presiden PAS itu budaya parti berkenaan tidak hanya memanjat pokok yang berbuah saja seperti dalam cerita Mat Jenin

"PAS sanggup memanjat pokok yang tidak berbuah dan belum berbuah kerana keyakinannya akan berbuah (juga) apabila tiba masanya jika dibajakan atau dicantas dahannya.

"PAS sabar berlalunya masa yang panjang, biar lambat asalkan selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota parlimen Marang itu juga menegaskan PAS mesti bertanding seberapa banyak kawasan kerana bercita-cita mahu memerintah negara.

Abdul Hadi berkata demikian dipercayai bagi menyanggah sindiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap dia berangan-angan kerana mahu memerintah Malaysia melalui percaturan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Selamatkan Melayu yang mudah lupa

Salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki pada 14 Jan lalu mengesahkan rancangan parti terbabit meletakkan sekurang-kurangnya 130 calon di kerusi parlimen pada PRU ke-14 ini.

Antara kerusi yang disasarkan termasuk beberapa kawasan dikenal pasti kubu kuat pembangkang lain, termasuk Permatang Pauh.

Percaturan itu juga mendedahkan bagaimana PAS melihat kemungkinan untuk bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan jika tiada mana-mana parti memperoleh kerusi mencukupi di Dewan Rakyat.

Pada 23 Jan lalu Malaysiakini melaporkan pandangan Dr Mahathir bahawa impian menguasai Malaysia melalui 130 kerusi itu sebagai "angan-angan Mat Jenin.”

Abdul Hadi juga berkata PAS wajib menyelamatkan rakyat Malaysia daripada memilih melalui "filem lama" yang dikitar semula tayangannya, terutama kepada "Melayu yang mudah lupa".

Tanpa menyatakan sebarang nama kenyataan itu jelas merujuk kepada Dr Mahathir yang dikenali dengan ungkapan "Melayu mudah lupa".

Dr Mahathir juga menjadi calon perdana menteri daripada Pakatan Harapan jika gabungan empat parti pembangkang itu berjaya mengalahkan BN pada PRU ke-14.

Namun menurut Abdul Hadi apa yang dibimbangkan ialah pengaruh media sosial tanpa sempadan yang boleh menjadi tentera upahan "musuh Islam".

"PAS wajib memperkenalkan budaya politik damai tanpa perpecahan rakyat, sama ada di kalangan umat Islam yang berbeza pendekatan atau rakyat bukan Islam yang berbeza agama dan budaya.

"PAS menegaskan Islam wajib memimpin dan memerintah atau mempengaruhi pemerintah dengan nasihat yang wajib menegakkan konsep adil terhadap semua, dan memelihara hak asasi manusia tanpa mengira agama dan bangsa.

"PAS mengambil pendekatan bertanding dalam pilihan raya tanpa berkelahi dan berpecah, melalui konsep taawun," katanya.

Lihat Komen
ADS