Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN: Najib datang Kelantan bawa janji manis lagi
Diterbitkan:  Jan 29, 2018 5:16 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Saban tahun penduduk di sepanjang Sungai Golok menghadapi banjir yang membawa kerugian serta kerosakan harta benda.

Namun apabila tiba pilihan raya pemimpin BN akan datang pula dengan menjaja janji-janji lama. Dan masalah orang awam tidak diatasi sehingga kini.

Itu reaksi Pengerusi HARAPAN Rantau Panjang, Dr Wan Shah Jihan Wan Din mengulas kedatangan Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan semalam.

Katanya kemunculan perdana menteri tidak lebih daripada sekadar mengulang skrip janji lama yang gagal ditepati.

"Kami di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang ni, setiap tahun berdepan banjir yang merosakkan harta benda, aktiviti ekonomi terganggu, malah banyak meragut nyawa penduduk.

"Dan katanya setiap kali tiba musim pilihan raya, kerajaan persekutuan mempermainkan penduduk dengan janji manis kononnya mahu pembinaan tebatan banjir, namun realitinya hingga sekarang belum dilaksanakan," katanya.

Melalui kenyataan media hari ini Dr Wan Shah Jihan mempersoalkan status janji-janji BN yang dibuat kepada Kelantan sebelum ini.

Misalnya, projek Tebatan Banjir Sungau Golok yang kajian mengenainya dibuat sejak 2010 dan dijanjikan bermula 2015. Ia dijangka siap 2019.

Najib semalam hadir ke Kelantan dalam lawatan kerja seharian dan merasmikan majlis pecah tanah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 di Kota Bharu.

Seriuskah kerajaan membantu

Bernama melaporkan kerajaan akan melaksanakan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok demi manfaat penduduk dalam usaha mengurangkan kesan bencana tersebut yang berlaku saban tahun.

Kata Najib projek tebatan dan PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 adalah antara senarai projek yang akan dilaksanakan di negeri terbabit.

"(Projek tebatan banjir di lembangan Sungai Golok) adalah projek lain tapi itu pun dalam senarai kita. Kita akan laksanakan apabila sampai masanya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tengah melihat projek ini untuk dilaksanakan," katanya.

Dr Wan Shah Jihan berkata, pihaknya mewakili suara penduduk yang terlibat dengan banjir setiap tahun di Rantau Panjang mendesak supaya BN berhenti berjanji, sebaliknya laksanakan segera apa yang diikrarkan sebelum ini.

Katanya mengikut janji terdahulu projek tebatan banjir sepatutnya siap pada tahun depan, namun kini kerajaan pusat sekali lagi menabur janji.

"Bukti kerajaan Najib tidak serius membantu Kelantan ialah dalam Belanjawan 2018, tiada peruntukan pun untuk tebatan banjir.

"Jadi kami pertikaikan kesungguhan kerajaan dalam hal ini," katanya.

Justeru kata Dr Wan Shah Jihan meminta pengundi di kawasan terlibat untuk mengundi HARAPAN untuk mewakili mereka di parlimen supaya masalah mereka dapat dibela.

"Selain projek tebatan banjir Kelantan juta perlu mendapat semula hak royalti minyak dan gas mengikut perjanjian asal," katanya.

Lihat Komen
ADS