Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pornografi budak: Malaysia 'jaguh' Asia Tenggara
Diterbitkan:  Jan 30, 2018 5:06 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Malaysia merekodkan alamat IP paling banyak memuat turun dan memuat naik gambar dan visual pornografi kanak-kanak di Asia Tenggara.

Menurut pihak berkuasa, terdapat juga peningkatan melambung berkaitan jumlah kanak-kanak menjadi mangsa 'kawan' atas talian.

Bercakap dalam satu seminar, Ong Chin Lan, pegawai di Jabatan Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman berkata, maklumat pada 2015 menunjukkan sebanyak 17,338 alamat IP melibatkan pornografi kanak-kanak dikesan daripada Malaysia.

Katanya, menjelang 2014, seramai 60 orang kanak-kanak menjadi mangsa serangan melibatkan pihak yang menjadi rakan mereka di Internet.

Angka itu meningkat kepada 184 kes pada 2015 dan 183 pada 2016. Setakat Mei tahun lepas, sebanyak 117 kes dicatatkan, menurut laporan The Star, yang memetik Sin Chew Daily.

Laporan itu berkata sebanyak 51 peratus kanak-kanak berumur antara 13 hingga 15 tahun berhubung dengan pelaku jenayah itu melalui aplikasi pesanan WeChat.

Saluran lain digunakan termasuk Facebook, WhatsApp and Beetalk.

Selain itu, laporan itu turut mengetengahkan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap kanak-kanak berumur antara 10 hingga 17 tahun pada 2015, yang mendapati 91.6 peratus memliki telefon bimbit sebelum 15 tahun.

Selain itu 88.5 peratus memiliki Facebook atau akaun media sosial lain.

Bagaimanapun didapati hanya 35.6 peratus sahaja ibu bapa memantau kegiatan anak mereka.

Ia juga mendedahkan bahawa 60 peratus kanak-kanak perempuan dan 40 peratus kanak-kanak lelaki akan bertemu dengan rakan Internet mereka.

Angka Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pula menunjukkan lebih 60 peratus kanak-kanak atau remaja menghabiskan masa di chatroom setiap hari.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS