Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan kes Indira Gandi sukar diterima, tapi mesti dihormati

Semua pihak diminta menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan mengetepikan penukaran agama sebelah pihak membabitkan 3 anak seorang guru tadika, M Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang memeluk Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mengakui keputusan lima hakim Mahkamah Persekutuan itu sukar diterima semua pihak, namun menegaskan agar menghormati proses mahkamah.

“Kita sudah ada sistem kehakiman dalam negara kita, kena terima keputusan mahkamah yang tertinggi dalam negara kita.

“Walau apapun, kita hormati keputusan dan saya rasa sangat sukar untuk puaskan semua pihak, tetapi penting untuk kita hormati proses itu,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi Umno di PWTC hari ini.

Najib berkata, pihaknya akan mengkaji semula Akta 164 yang sebelum ini dibentang pindaannya tanpa klausa 88A.

“Kami akan lihat perkara itu (klausa 88A),” katanya ringkas.

Klausa 88A menyatakan agama anak yang terlibat kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain.

Semalam Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa takrif "ibu bapa" harus bersifat majmuk dalam keputusannya berhubung kes penukaran agama satu pihak membabitkan Indira Gandi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah.

Oleh itu, panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Perlu dapat keizinan ibu dan bapa

Mahkamah kali ini tidak lagi terikat dengan keputusan kes R Subashini lawan T Saravanan pada tahun 2007 yang menyaksikan isteri yang beragama Hindu itu diarahkan untuk mencari jalan penyelesaian di Mahkamah Rayuan Syariah untuk menghentikan suaminya yang beragama Islam daripada menukar agama anak mereka tanpa persetujuannya.

Panel hakim sebulat suara berpuas hati bahawa penukaran agama mereka perlu mendapat keizinan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak tersebut sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Mohd Ridhuan menukar agama tiga anak mereka, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa, sepuluh tahun lalu tanpa kebenaran dan pengetahuan isterinya, seorang guru tadika.

Kanak-kanak berkenaan ketika itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.

Indira Gandi kemudiannya merayu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Disember 2015 yang tidak memihak kepadanya.

Panel tiga hakim ketika itu yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi (kini hakim Mahkamah Persekutuan) dalam keputusan majoriti 2-1 berpuas hati bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan perkara-perkara berkaitan agama Islam.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Mohd Ridhuan serta empat yang lain untuk mengketepikan perintah Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh, Perak yang membatalkan sijil penukaran agama tiga anak lelaki itu.

Selain Pengarah JAIP dan Mohd Ridhuan, perayu-perayu lain terdiri daripada Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia.

Lihat Komen
ADS