Paling Popular
Terkini

PULASAN l Agaknya kempen undi rosak ini terlahir daripada kekecewaan banyak pihak atas apa yang sedang berlaku dalam politik negara kita ini.

Dan kelihatan mereka yang menyokong kempen ini bukan daripada kalangan yang selama ini diam dalam politik.

Mereka seperti kalangan yang celik politik negara.

Siapa yang tidak bosan apabila politik kita hanya berkisar tentang kalangan yang sama?

Si anu yang kecewa dengan parti itu, lari dan berkawan dengan mereka yang dulu adalah musuhnya yang paling dibenci.

Kemudian si inun kembali pula kepada parti yang diludahnya dulu, konon kerana tiba-tiba mendapat cahaya hidayah.

[Tari Tipu Tuhan - Abdullahjones 2011]

Di mana-mana pun, yang dapat dibaca ialah kebencian. Yang dilihat adalah permusuhan, dan pada masa yang sama semua mendakwa bertekad untuk memajukan negara ini.

Menunjukkan cinta dengan mengasihi benci adalah kebodohan mutlak.

Hampir semua parti politik di negara ini memiliki kuasa. Maksudnya, di beberapa negeri ia diperintah oleh parti pembangkang di peringkat pusat.

Mengapa mereka tidak menumpukan segala tenaga untuk membuktikan bahawa setelah memegang kuasa, mereka berjaya memajukan negeri-negeri yang diperintah?

Tumpu majukan negeri diperintah

Mungkin kamu katakan bahawa pembangkang menghadapi kekangan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyatnya akibat tekanan kerajaan pusat. Tidak mendapat bantuan misalnya.

Tapi inilah masanya untuk mereka membuktikan kebijaksanan masing-masing dalam hal mentadbir. Cari jalan untuk menyelesaikan masalah tanpa bantuan kerajaan pusat, dan buktikan bahawa kamu adalah suatu kuasa yang wajib digeruni.

Beribu-ribu organisasi yang tidak mendapat bantuan kerajaan, Rajawali Art Studio Internationale misalnya (uhuk!), elok saja maju jaya walau kini diperintah oleh seorang diktator.

[Kalau Orang Tanya Ini Gambar Unta - Abdullahjones 2011

Yang kerajaan pusat pula janganlah terlalu asyik mencari jalan untuk kembali menebus negeri-negeri yang tewas.

Tumpuan harus diberikan kepada menambah lagi kemajuan negeri-negeri yang diperintah.

Biar rakyat yang membuat keputusan. Kami - walaupun nampak bodoh - tahu beza antara batu dan permata.

Dan jika benar semua ahli politik mencintai negara ini maka sesiapa pun yang memerintah dan memajukannya, tidak sedikit pun menjadi masalah.

Kami tidak perlukan cerita-cerita dalam kain ahli politik. Kami tidak peduli apa yang mereka lakukan dalam kelambu masing-masing.

Kesalahan peribadi adalah peribadi, selama mana ia tidak dijaja. Menjaja kesalahan peribadi sesiapa pun tanpa bukti kukuh adalah maksiat besar.

Gutter politic adalah sesuatu yang amat menjengkalkan dan kami bosan dengan cerita-cerita demikian.

Memperbodohkan diri sendiri

Negara ini ada undang-undang. Jika benar ada mana-mana individu melakukan kesalahan, dakwa mereka dan sistem perundangan wajib dibebaskan daripada apa jua tekanan.

Segala desus-desas buruk mengenai kehakiman negara hendaklah dihapuskan.

Kerajaan mempunyai tanggunjawab menidakan segala bentuk tohmahan yang dilemparkan kepada majlis yang dihormati itu.

Hentikan politik benci membenci dan pulang balik kepada menambah baik negara.

Sudah-sudahlah memperbodohkan diri sendiri dan orang keliling.

Yang tua berikan ruang kepada yang muda (sebelum meninggal dunia), yang rasuah berikan tempat kepada yang tidak (sebelum ditangkap).

Jangan jadi degil seperti menteri logo itu.

By the way, jawapan “saya tidak peduli...” itu sangat angkuh bunyinya dan tidak selayaknya seorang menteri bahagian seni melafazkannya.

Tinggalkan samseng kita itu di padang rengeh. Kita menteri orang ramai. Jadi apabila orang ramai tegur, kita cari jalan paling baik untuk mengembirakan mereka.

Dan juga jangan diikut sangat perangai budak-budak PAS. Kena kosek sikit, terus bunyikan semboyan perang. Jihad! Jihad!

Sudah lama sangat agaknya berlatih memanah dan telah datang ketagihan untuk mempraktiknya. Nak merasa memanah orang pula gamaknya.

(Habis laaa.. Haji Hassan di Pulau Pinang akan tulis lagi di blognya lagi nanti ni...)

P/S: Haji, orang tak main dah blog-blog ni. Pesen lama tu aji.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sederhana. Juga seorang jurugambar amatur serta seorang ninja dalam latihan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS