Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun maut selepas dadanya tertusuk sabit yang terjatuh ketika mengikut datuknya yang sedang mengait buah kelapa sawit, di Kampung Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata kejadian menimpa Mohd Riduan Hakim Abd Rashid, murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat itu berlaku kira-kira 2 petang.
"Siasatan mendapati mangsa telah mengikut ahli keluarga pergi ke kebun mengait sawit pada jam 9.30 pagi kerana cuti persekolahan.
"Semasa salah seorang ahli keluarga mangsa sedang mengait sawit, tiba-tiba buah sawit yang dikait telah jatuh bersama-sama sabit melalui kayu kait dan sabit berkenaan melantun mengenai bahagian kiri dada mangsa," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mohd Marzukhi berkata mangsa telah dikejarkan ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia sebelum mayat itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.
"Polis telah menerima maklumat kematian kanak-kanak itu kira-kira jam 3.45 petang," katanya.
Kanak-kanak lemas
Sementara itu, di Alor Setar, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia akibat lemas ketika mandi bersama keluarga di sebuah taman tema air di Sungai Petani, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Hafidh Dhabit Hasrul Nizam dari Kodiang datang bersama keluarga untuk sambutan hari keluarga tempat bapanya bekerja.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Saifi Abdul Hamid berkata mangsa bersama tiga adik beradiknya kemudian mandi di kolam sebelum bapa mangsa meninggalkan mereka seketika untuk membeli makanan.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang mandi di kolam sedalam 1.2 meter bersama kakaknya sebelum tiba-tiba tenggelam sebelum ditemui di dasar kolam dan dibawa naik dan diberi bantuan pernafasan kecemasan oleh pengawal kolam.
Saifi, dalam kenyataan, berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani namun disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di hospital tersebut.
Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
- Bernama
