Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini bimbang apabila semakin ramai ketagih melayari media sosial tanpa mengira masa dan tempat.
Malah, mimbar juga menyebut, ketagihan melayari media sosial itu juga berlaku ketika di dalam masjid dan semasa khatib membacakan khutbah.
Perkara ini, menurut mimbar akan menyebabkan orang ramai yang hadir untuk solat Jumaat merosakkan pahala mereka sendiri.
"Melayari media sosial sehingga tidak menumpukan perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan akan menyebabkan sia-sia dan merosakkan pahala mendengar khutbah serta mengurangkan pahala solat Jumaatnya,” kata petikan khutbah Jumaat yang bertajuk “Menjauhi fitnah media sosial”.
Walaupun Islam tidak menghalang kemajuan dan pemodenan, namun orang ramai harus bijak menggunakan media sosial.
Ini kerana, menurut mimbar, kemudahan media sosial yang ada kini telah bertukar wajah membentuk gejala membimbangkan apabila wujud unsur kemungkaran.
Umat Islam juga hari ini lebih banyak menghabiskan masa melayari media sosial berbanding membaca al-Quran atau bahan berunsur kerohanian dan keagamaan, kata mimbar.
"Melemparkan tuduhan, fitnah, saling salah menyalah antara satu sama lain, menyebarkan cerita dan berita tidak pasti, menjadi punca pergaduhan dan perceraian suami isteri,” kata mimbar lagi.
Justeru, mimbar menasihatkan, umat Islam agar menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan mengolak berita atau cerita yang tidak benar serta tidak kongsi perkara yang tidak baik dan tidak tepat.
“Tidak takutkah kita amalan kebaikan kita hilang begitu sahaja akibat tersalah share atau berkongsi perkara tidak baik dan tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam seperti menyebarkan sesuatu hukum yang disebut oleh para ulama sedangkan hakikatnya tidak benar.
“Jadikanlah media sosial sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, memperkukuhkan persaudaraan, menyuburkan perpaduan, menyebarkan ilmu pengetahuan yang seterusnya akan menambah kebaikan dan memperoleh rahmat Allah,” ujar mimbar lagi.
