Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelaburan dari China dijangka terus masuk ke Malaysia

Pelaburan dari China dijangka terus memasuki Malaysia terutamanya dalam segmen hartanah, pembuatan dan logistik, kata Pengarah Eksekutif Knight Frank Malaysia Sdn Bhd, Allan Sim.

China telah melabur sebanyak RM4.77 bilion dalam 33 projek pembuatan tempatan yang melibatkan 22 projek pembangunan hartanah, dengan nilai pembangunan kasar terkumpul RM581.2 bilion.

Sim berkata kerjasama antara kedua-dua negara terutamanya bagi taman Zon Perdagangan Bebas KLIA Aeropolis (DFTZ) dan projek-projek lain segmen e-dagang, boleh menarik lebih banyak minat dalam segmen logistik.

Dana-dana daripada inisiatif One Belt, One Road China digunakan bagi membiayai Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) dengan kos sebanyak RM12.5 bilion.

“Ini hanya baru permulaan bagi lebih banyak potensi kerjasama, ketika e-dagang sedang pesat membangun. Nampaknya (e-dagang) tidak akan berhenti, dan ini mungkin menyebabkan lebih banyak pelabuhan di Malaysia diperluaskan bagi menampung permintaan daripada industri,” kata Sim selepas melancarkan laporan penyelidikan mengenai trend pelaburan pelabur China di seluruh Asia Pasifik, di Kuala Lumpur, hari ini.

Laporan itu mendedahkan bahawa meskipun China mengekang pengaliran keluar modal, serta lebihan hartanah di negara itu, minat pelabur China terhadap negara ini masih kekal, dengan tumpuan kepada segmen pembuatan, logsitik, pembinaan dan hartanah.

Lebih banyak pemaju China juga dilihat menyertai projek lebih kecil dan khusus yang menyasarkan kepada pasaran domestik.

Ditanya sama ada ini akan memberi kesan negatif kepada pemaju tempatan, Sim berkata, industri tempatan akan mendapat manfaat daripada aliran ini hasil daripada pindahan teknologi, manakala lebih banyak pengeluar dijangka membuka kemudahan pengeluaran di dalam negara ini.

Laporan itu juga menyatakan antara 15 peratus hingga 25 peratus daripada 500 korporat besar China menyatakan mereka menyasar melabur di ASEAN dan Malaysia sebagai destinasi pilihan.

“Akses bebas tarif ke pasaran serantau, kos operasi rendah dan insentif cukai adalah antara tawaran menarik yang menarik pelabur-pelabur ini,” kata laporan itu. -Bernama

Lihat Komen
ADS