Dr M: HARAPAN akan kaji semula FDI termasuk ECRL

   

Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengkaji semula semua Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan membatalkan projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika ia didapati bertentangan dengan kepentingan negara.

Perkara itu diumumkan pengerusi gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam rancangan 'policy talk' di halaman Facebook rasminya pagi ini.

Menurut Mahathir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengisytiharkan bahawa beliau membawa masuk pelaburan berbilion ringgit dari negara China.

"Tetapi sebenarnya ini bukan FDI. FDI yang kita faham ialah membawa modal daripada luar negara bersama dengan teknologi untuk mendirikan perusahaan yang dianggotai rakyat Malaysia di semua peringkat

"Dan barangan-barangan yang dikeluarkan boleh dipasarkan di tempatan dan juga untuk dieksport. Itulah FDI

"Kita perlu FDI sebab kita tak mempunyai modal, tak mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi.

"Tapi apa yang Datuk Seri Najib buat ialah untuk membawa masuk wang untuk beli tanah untuk mendirikan bandar-bandar mewah. Ini boleh dilakukan oleh pengusaha tempatan, kita banyak pengalaman dalam pembangunan dalam negara," katanya.

Tambah Mahathir, kemasukan pelabur asing juga kadangkala tidak mewujudkan peluang pekerjaan di Malaysia.

"Mereka mungkin membawa pekerja dari negara mereka dan ini tak menguntungkan negara," katanya tanpa memberikan sebarang contoh khusus.

Najib sebelum ini terlibat membawa firma-firma dari negara China bagi membangunkan Bandar Malaysia namun projek mega itu masih belum mendapat pemaju utama.

Tun Razak Exchange (TRX), satu lagi inisiatif Najib, sedang dibangunkan oleh syarikat Indonesia Mulia Group bersama-sama dengan kontraktor China State Construction Engineering Corporation.

Mahathir berkata HARAPAN akan mengkaji semula kemasukan FDI sedia ada dan mempertimbangkan untuk membatalkannya sekiranya membentuk kerajaan.

"Jadi kita tak boleh membiarkan tanah kita dibangunkan oleh orang asing. Mungkin untuk penduduk dari negara mereka. Kita berpendapat apabila PH jadi kerajaan, kita ingin kaji pelaburan-pelaburan ini," katanya.

Pada November 2016, Najib menandatangani 14 memorandum persefahaman (MOU) dengan China bernilai sejumlah RM143.64 bilion.

ECRL tak berdaya maju

Selain menolak pembangunan tanah oleh pelabur-pelabur asing, Mahathir juga mengulangi kritikan terhadap ECRL dan meramalkan projek rel keretapi itu tidak akan berjaya.

"Kita dapati bahawa seperti Keretapi Pantai Timur (ECRL) - keretapi pantai barat (KTM) pun semakin lama tak dapat untung, selalunya terpaksa dibiayai kerajaan. Di Pantai barat kita mempunyai lebih banyak penduduk dan industri, dan lebih ramai keluarkan bahan-bahan seperti kelapa sawit.

"Di Pantai Timur, penduduknya kurang dan mereka mempunyai pilihan kalau nak datang dari Kota Bahru ke KL, sudah ada airline (penerbangan) murah, ambil masa setengah jam.

"Dengan kereta api mungkin mengambil 12 jam. Ini menunjukkan bahawa projek ini tak berdaya maju. Kita perlu kaji semula, menamatkan projek ini kalau didapati ianya tak menguntungkan," katanya.

China Communications Construction Company (CCCC) dianugerahkan kontrak untuk membangunkan projek bernilai RM55 bilion itu.

Kerajaan juga mengambil pinjaman dari China Import Export Bank untuk membangunkan projek berkenaan.

Najib sebelum ini berkata ECRL sepanjang 620km akan membantu mengembangkan ekonomi negeri-negeri di Pantai Timur.

Projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif One Belt, One Road China.

 

 

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.