Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi cuba 'burukkan’ agama lain, kata Baru
Diterbitkan:  Feb 7, 2018 4:55 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian membidas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwanya cuba meletakkan agama dalam imej buruk dengan mendakwa bahawa agama Kristian dan Hindu membabitkan "kasta".

"Kesimpulan yang boleh dibuat daripada kenyataan Hadi ialah beliau cuba menggambarkan agama lain sebagai tidak baik, tidak adil, atau berat sebelah.

"Dengan berbuat demikian, beliau membangkitkan kemarahan dan / atau melukakan perasaan rakyat Malaysia yang beragama Kristian dan Hindu.

"Kenyataan ini menghampiri menghasut dan mencerminkan Hadi sebagai pemimpin tidak bertanggungjawab yang nampaknya tidak peduli sama ada kenyataannya melukakan perasaan orang lain," kata Baru, yang juga adalah ADUN Ba'kelalan, dalam satu kenyataan media.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang disiarkan Harakahdaily semalam berhubung laporan yang mengatakan kerajaan PAS akan membentuk kabinet berbeza antara umat Islam dan bukan Islam.

Dalam penjelasannya, Abdul Hadi berkata cadangan itu bukan usaha untuk memperkenalkan sistem "kasta agama" yang menurutnya wujud dalam agama Hindu dan Kristian.

Abdul Hadi berkata, ia berbeza dengan Islam di mana golongan ulama tidak dianggap suci, tidak terlepas daripada dosa dan perlu bertaubat, seperti umat Islam lain.

The Malaysian Insight melaporkannya sebagai berkata demikian pada sebuah majlis di Pulau Pinang pada Ahad lalu manakala The New Straits Times pula melaporkan Abdul Hadi membuat kenyataan sama pada Disember tahun lepas.

Baru berkata kenyataan Abdul Hadi itu mengejutkan kerana ia mencerminkan kejahilannya berrhubung agama Kristian.

“Dalam hal ini tidak ada orang Yahudi atau orang Yunani, tidak ada hamba atau orang merdeka, tidak ada laki-laki atau perempuan , kerana kamu semua adalah satu di dalam Kristus Yesus,” kata Baru yang memetik Galatian 3:28 dari Alkitab.

"Hadi jelas tidak mempunyai pengetahuan atau pemahaman tentang agama Kristian dan sepatutnya melaksanakan sedikit kebijaksanaan dan kekangan daripada membiarkan kejahilannya menjadi sangat jelas."

Baru berkata Abdul Hadi sepatutnya berkongsi rancangan partinya untuk menghapuskan gejala rasuah dan kleptokrasi dan bukannya cuba "menjadi jagoh dengan menghina agama lain".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS