Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUTP: Kenapa beri telefon kalau tak boleh bawa?
Diterbitkan:  Feb 7, 2018 5:00 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memohon penjelasan lanjut Kementerian Pendidikan berhubung larangan guru membawa telefon bimbit ke dalam kelas.

Setiausaha agungnya Harry Tan Huat berkata profesion perguruan kini memasuki abad ke-21 dan kebanyakan alat bantu mengajar menjurus ke arah penggunaan telefon bimbit.

Malah, katanya, kerajaan sendiri telah mengagihkan telefon bimbit YES kepada semua guru di negara ini untuk meningkatkan kaedah pengajaran guru serta pembelajaran murid.

“NUTP ingin memohon penjelasan berkaitan dengan kenyataan timbalan menteri pendidikan di atas kenyataan beliau.

“Di samping itu juga, bagaimana dengan pengagihan telefon bimbit YES tersebut, adakah perlu dihentikan juga,” kata Harry dalam kenyataannya hari ini.



Selain itu Harry berkata kerajaan juga telah melengkapkan 10,000 buah sekolah rendah dan menegah dengan akses berkelajuan 4G dan platform pembelajaran maya yang menyediakan akses kepada penyelesaian pembelajaran bersepadu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan dalam Utusan Malaysia hari ini bahawa guru tidak dibenarkan membawa dan menggunakan telefon bimbit dalam bilik darjah namun boleh membawanya ke sekolah dan disimpan di pejabat atau bilik guru.


Berkaitan: Sekarang Kamalanathan kata guru boleh bawa telefon


Katanya, perkara itu merupakan prosedur kepada semua guru.

Kamalanathan juga ketika ditanya mengenai insiden kehilangan telefon bimbit seorang guru di sebuah sekolah di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 22 Januari lalu yang berlaku dalam bilik darjah berkata, pihak kementerian masih belum menerima laporan penuh daripada polis.

Sementara itu NUTP melalui kenyataan berasingan berkata pihaknya dukacita berhubung kes M Vasanthapiriya, 13, yang meninggal dunia Jumaat lalu selepas ditemui dalam keadaan tergantung minggu sebelumnya.

Harry berkata guru tersebut merupakan ahli NUTP dan pihaknya mendapat tahu bahawa guru itu menerima pelbagai cacian, ugutan malah ancaman buruk.

“Dalam hal ini, NUTP akan memberikan bantuan terbaik untuk guru ini,” kata Harry.

Justeru NUTP menyeru semua guru negara ini agar berhati-hati dalam menguruskan masalah pelajar dan perlu mematuhi prosedur operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kementerian.

Lihat Komen
ADS