Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengeluaran Tabung Haji mendadak selepas dakwaan Rafizi'

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa berlakunya pengeluaran simpanan yang mendadak oleh pendeposit Tabung Haji sepanjang tempoh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membuat dakwaan terhadap Tabung Haji pada tahun 2016.

Ketua Pegawai Kewangan Lembaga Tabung Haji Rozaida Omar berkata pihaknya mengawal aktiviti setiap hari dan ada rekod pengeluaran deposit.

"Pada tarikh artikel dia (Rafizi) dibuat, ada kesan pengeluaran mendadak yang tidak sama dengan tempoh sama pada tahun sebelum ini," kata Rozaida Omar ketika ditanya oleh pendakwa raya.

Rozaida membuat laporan polis pada 18 Februari 2016 terhadap artikel bertajuk “Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015” dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji dan boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Rafizi kemudian didakwa bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, atas kesalahan fitnah jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rozaida juga memberitahu mahkamah dakwaan Rafizi bahawa penyimpan Tabung Haji tidak boleh mendapat balik deposit adalah kenyataan salah walaupun sesetengah rizab Tabung Haji berada dalam status negatif.

"Kita tak nafi sesetengah rizab negatif tapi jika ambil kira seksyen 22(3a), iaitu ambil kira nilai pasaran, nilai aset Tabung Haji adalah lebih tinggi berbanding liabiliti.

"Maka rizab negatif tidak bermaksud Tabung Haji tidak mampu bayar (simpanan)," katanya.

Sementara itu, Majistret Umzarul An-Nur Umar hari ini juga menolak permohonan bantahan awal yang dikemukakan oleh Rafizi untuk menghentikan perbicaraan kesnya.

Majistret berkata Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah yang dikemukakan oleh Peguam Rafizi, iaitu Gobind Singh Deo tidak terpakai bagi kes ini kerana ini bukan merupakan saman peribadi.

Semalam, Gobind Singh Deo berkata kepada mahkamah bahawa bantahan itu dikemukakan atas alasan perbicaraan ini tidak sah kerana Umzarul An-Nur tidak menjalankan pemeriksaan terhadap pengaduan oleh pengadu di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah.

Lihat Komen
ADS