Para pelabur yang berhasrat untuk mengembangkan operasi di luar daripada pasaran tepu harus menimbangkan Kelantan sebagai lokasi perniagaan mereka kerana negeri itu sedang merancang pelbagai projek mega serta mencari pelabur untuk mengoperasikan lombong emasnya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hal Ehwal Korporat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Mazli Zakuan Mohd Noor berkata negeri itu merupakan sebuah pasaran yang belum dimanfaatkan yang menawarkan pelbagai peluang besar serta ruang bagi syarikat untuk berkembang.
“Kelantan bukan sahaja menawarkan peluang bagi menempatkan operasi perniagaan anda, tetapi juga kemudahan pembiayaan termasuk Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF), yang masih kurang digunakan, bagi membantu pelabur membiayai projek mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan pembentangan mengenai peluang perniagaan di Kelantan, di ibunegara hari ini.
Pembentangan itu merupakan sebahagian daripada Siri Melabur: Mengetengahkan peluang perniagaan, potensi negeri anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Mazli Zakuan berkata negeri itu juga sedang mencari pelabur untuk mengoperasikan bersama enam lombong emasnya.
“Pelabur dan semua orang harus tahu yang rizab emas Kelantan adalah amat besar dan ini mencerminkan peluang yang tersedia bagi pengendali (di Kelantan),” katanya.
Sementara itu beliau juga memberikan contoh Taman Halal Pasir Mas, Taman Perindustrian Tok Bali, Bandar Islam Moden Sungai Terah, satu perbandaran baharu dan projek pembangunan bercampur di Sungai Bagan sebagai projek mega yang sedang dibangunkan kerajaan negeri.
Projek-projek itu, katanya, dijangka membawa kesan limpahan bagi pasaran tempatan memandangkan dasar negeri itu yang menetapkan 30 peratus daripada kerja-kerja projek mega perlu dikendalikan pemain tempatan.
Mengenai perkembangan lain, beliau berkata setakat September 2017, Kelantan meluluskan 292 projek pembuatan bernilai RM6.48 bilion, yang mana 78 peratus daripadanya atau RM5.04 bilion diperoleh daripada sumber domestik.
Pengarah Eksekutif Penggalakan Pelaburan MIDA, Arham Abdul Rahman berkata nisbah pelabur domestik serta pelabur asing di Kelantan tidak akan berubah dengan mendadak.
Bagaimanapun, katanya, agensi itu sedang giat berbincang dengan para pelabur dari China, Jepun dan Kesatuan Eropah yang menunjukkan minat untuk membuka perniagaan di Kelantan.
“Ini menunjukkan bahawa memang ada minat. Bagaimanapun, kami belum lagi memuktamadkan perjanjian,” katanya sambil menambah, Taman Halal Pasir Mas berpotensi menarik pelaburan swasta bernilai RM611 juta dan mewujudkan 4,200 peluang pekerjaan menjelang 2020.
- Bernama
