Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah digesa tak beri Anwar lebih banyak 'cherry'

Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud berhujah bahawa bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim silap dalam menamakan kerajaan sebagai responden dalam usaha terakhirnya untuk mengketepikan sabitan kesalahan kes liwat II .

Sebaliknya, kata beliau, Anwar harus menamakan peguam negara (AG) kerana bukan kerajaan yang menerajui pendakwaan terhadap Anwar tetapi AG bertindak sebagai pendakwa raya di bawah Perkara 145 (3).

"Memandangkan, pihak sepatutnya tidak dinamakan, maka permohonan plaintif perlu dibatalkan.

"Tuduhan Anwar dalam mendakwa terdapat unsur penipuan yang membawa kepada sabitan kesalahannya menghampiri hasutan kerana ia juga mempersoalkan mahkamah dan peranan AG dan ini mengancam doktrin pemisahan kuasa" katanya.

Awang Armadajaya berkata Anwar juga tidak membekalkan butiran dan maklumat yang mencukupi untuk menyokong dakwaan penipuan seperti yang didakwa itu.

Tidak ada apa-apa dalam kenyataan tuntutannya yang mencadangkan perkara itu, kata peguam kanan persekutuan itu.

Awang Armadajaya juga menolak kemungkinan penipuan oleh pendakwa utama Datuk Yusof Zainal Abiden di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam kes Anwar, beliau berkata pemimpin pembangkang itu dibebaskan di Mahkamah Tinggi dan atas rayuan pihak pendakwaan dia didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan dan keputusan itu dikekalkan di Mahkamah Persekutuan.

Awang Armadajaya berkata, semakan dua sabitan Anwar di Mahkamah Persekutuan juga telah dibatalkan.

"You cannot let him to have further bites of the cherry. (Kamu tidak boleh beri kelebihan pada dia.) Dia telah diberikan peluang itu dua kali," katanya.

Anwar pada April lalu memfailkan permohonan untuk mengketepikan sabitan liwatnya yang kedua berdasarkan alasan bahawa mahkamah bergantung kepada keterangan palsu oleh mangsa Mohd Saiful Bukhari Azlan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS