Paling Popular
Terkini

LAPORAN KHAS | Bandar Yong Peng di Johor hanya mempunyai dua barisan kedai di jalan utama, tetapi ia adalah salah satu tempat persinggahan yang paling popular bagi mereka yang dalam perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Persinggahan mereka menjadi 'nyawa' kepada kehidupan di bandar yang sibuk ini.

Di segi politiknya, bandar ini adalah sebahagian daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng, yang membentuk separuh kawasan Parlimen Ayer Hitam, yang bakal menyaksikan pertembungan menarik antara BN dan Pakatan Harapan.

Kira-kira 20km di selatan bandar Yong Peng terletak Semarang, lagi separuh kawasan pilihan raya Ayer Hitam.

Tidak seperti Yong Peng yang yang menjadi laluan bas ekspres, trak kontena dan banyak kereta dengan plat pendaftaran Singapura, kawasan Semarang ini dikelilingi ratusan ladang kelapa sawit dan getah serta kampung-kampung Melayu, yang dikenali sebagai "kampung parit" yang dibina di sepanjang terusan.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 30 kampung parit terletak dalam kawasan dewan undangan negeri itu. Kampung-kampung ini kebanyakannya dinamakan mengikut nama nenek moyang mereka dan mempunyai sejarah yang panjang.

Pada masa lalu, penduduk kampung itu memerlukan terusan untuk pengairan tanaman padi sebelum ia diubahsuai untuk tujuan perladangan dan tebatan banjir.

Semarang, kebal untuk ditembusi

Ayer Hitam telah menjadi kubu kuat BN sejak kerusi itu diwujudkan pada pilihan raya umum 1974 sehingga ia dimansuhkan pada tahun 1986 dan diwujudkan semula pada tahun 2004 ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Semasa pilihan raya umum lalu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menewaskan calon PAS, Hu Pang Chaw dengan majoriti 7,310, untuk kekal bagi penggal ketiga sebagai ahli Parlimen Ayer Hitam.

Bagaimanapun, rakan Wee - Lim Kee Moi - tewas setelah mewakili Yong Peng selama dua penggal, kalah kepada calon DAP, Chew Peck Choo dengan majoriti tipis.

Di Semarang, Samsol Bari Jamali dari Umno mengekalkan kerusinya dengan majoriti yang lebih besar, untuk kekal bagi penggal ketiga.

Ringkasnya, Semarang, di mana 40 peratus pengundi Ayer Hitam berada, menjadi parit yang tidak dapat ditembusi untuk kubu BN di Ayer Hitam.

Mengikut senarai pemilih tambahan bagi suku kedua 2017, Ayer Hitam adalah kerusi campuran dengan 57.9 peratus pengundi Melayu, 38.1 peratus pengundi Cina dan 3.9 peratus pengundi India.

Sebaliknya, Semarang adalah kerusi majoriti Melayu, dengan 85 peratus pengundi Melayu, 14 peratus Cina dan satu peratus pengundi India manakala Yong Peng mempunyai 60 peratus pengundi Cina, 34 peratus pengundi Melayu dan enam peratus pengundi India.

Berbeza pandangan tentang kampung parit

Untuk pilihan raya yang akan datang ini, Ayer Hitam menjadi pangkalan utama untuk DAP, yang kini mahu menyingkirkan timbalan presiden MCA di kawasan pilihan rayanya.

Ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang, dalam penampilannya yang kedua selepas pulih daripada menjalani pembedahan, melancarkan ibu pejabat pilihan raya parti itu di Bandar Baru Ayer Hitam pada 29 Januari lepas.

Kira-kira 150 orang penyokong hadir di majlis itu, dengan kebanyakannya menyuarakan keyakinan terhadap prospek Pakatan Harapan menawan Ayer Hitam, tetapi keadaannya mungkin berlainan dengan pengundi Melayu dari kampung parit di Semarang.

Hairuddin Selamat, seorang bekas askar berusia 54 tahun yang tinggal di Kampung Parit Haji Siraj, tidak menyedari bahawa Ayer Hitam, yang pakatan pembangkang - Pakatan Rakyat - diperuntukkan kepada PAS pada PRU13, telah diberikan kepada DAP kali ini.

Beliau juga tidak sedar bahawa DAP, selepas mengumumkan bahawa AMANAH akan bertanding di kerusi itu di bawah tiket DAP, dilaporkan turut mengintai kerusi itu.

"Saya tidak tahu tentang ini," kata Hairuddin.

Kawasan kampung parit merangkumi 25 kilometer di sepanjang Jalan Batu Pahat-Kluang dan jarang penduduknya.

GST bukan masalah

Sesetengah pengundi yang tinggal di Semarang, kelihatan gembira dengan kehidupan mereka.

Ramli Abd Hamid, yang tinggal di Kampung Sri Mendapat berkata penduduk kampung mempunyai wang yang cukup untuk memberi makan keluarga mereka dan mereka tiada masalah tentang cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Mereka menyewakan ladang kelapa sawit mereka kepada kontraktor untuk menguruskannya dan mereka mengutip sewa tiga kali sebulan.

"Mereka adalah bos-bos yang menjalani kehidupan yang selesa. Kenaikan kos sara hidup tidak akan memberi kesan kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.

"Mereka menternak, menanam sayur-sayuran dan pergi memancing," katanya sambil menambah bahawa mereka sentiasa ada makanan di meja mereka.

Oleh itu, beliau berkata, penduduk kampung itu tidak mungkin terpengaruh dengan mesej pembangkang mengenai perubahan kerajaan yang diperlukan untuk mengawal inflasi.

Beliau berkata kampung parit merupakan salah satu bank undi untuk BN, seperti di tanah rancangan Felda. Mana-mana parti yang berkempen di Ayer Hitam, tidak boleh mengabaikan sentimen kampung parit jika mereka mahu menang, kata Ramli.

Kebanyakan penduduk kampung itu memberitahu Malaysiakini bahawa mereka gembira dengan tahap perkhidmatan yang disediakan oleh pejabat Wee.

Fazly Abd Hadi, 36, yang membuka gerai makanan berhampiran Kampung Parit Haji Siraj, berkata Wee mempunyai reputasi tidak pernah menolak jemputan menghadiri majlis perkahwinan walaupun mempunyai jadual yang ketat.

"Penduduk suka padanya kerana dia rapat dengan kami. Anda boleh melihatnya di mana-mana majlis perkahwinan dan sambutan Hari Raya," katanya.

Hanya dua hari sebelum Malaysiakini bercakap dengan Fazly, Wee bergegas pulang dari Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan seorang senator Umno.

Pada satu ketika, Wee telah didatangi sekumpulan akar umbi Umno yang mencari dana untuk aktiviti tempatan. Wee meminta satu cadangan dibuat dan berkata perkara itu akan dirujuk terus kepada perdana menteri.

[Baca berita penuh]


 


 

Lihat Komen
ADS