Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat terbuka doktor rayu sultan Johor hentikan ‘doula’

Satu kumpulan pengamal perubatan hari ini menukilkan surat terbuka kepada sultan dan permaisuri Johor berhubung isu kematian bayi yang dilahirkan di rumah tanpa kehadiran doktor atau bidan yang berlaku di negeri berkenaan.

Menggunakan nama Medical Mythbusters Malaysia, di Facebook, kumpulan pengamal perubatan dari pelbagai bidang itu memohon agar Sultan Ibrahim Iskandar serta Permaisuri Raja Zarith Sofiah membantu mereka memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya kelahiran sendiri tanpa pengawasan doktor.

Medical Mythbusters Malaysia merupakan NGO berdaftar yang terdiri daripada 57 orang pengamal perubatan antaranya doktor pakar, profesor, doktor perubatan, ahli farmasi, jururawat, pembantu perubatan dan dietitian. 

 

Menurut surat itu, kes kematian bayi di rumah berlaku susulan kegagalan ibu bapa mendapat rawatan di hospital selepas terpengaruh dengan sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘doula’ atau peneman bersalin.

Kumpulan itu mempromosi kelahiran secara alami tanpa campur tangan doktor.

Menurut surat itu, ajaran doula bertentangan dengan prinsip perubatan dan berisiko kerana setiap kelahiran perlu dalam suasana selamat dan dihadiri oleh kakitangan perubatan.

Justeru, mereka merayu kepada kerabat diraja Johor agar dapat menggesa siasatan menyeluruh dibuat berhubung kes kematian bayi di rumah.

"Sebagai sultan yang berjiwa rakyat, dikasihi dan disegani oleh setiap lapisan bangsa Johor, kami merendah diri, merafak sembah memohon semoga tuanku membantu kami sebagai para pengamal perubatan yang bergiat aktif di media sosial untuk menyedarkan masyarakat tentang kemudaratan yang sedang berleluasa ini.

"Kami mohon tuanku bantu juga kami dalam isu ini bagi menghentikan kehilangan nyawa yang tidak berdosa.

"Kami mengharapkan sokongan tuanku supaya penyiasatan menyeluruh, terperinci dan telus dapat dilakukan ke atas kes yang berlaku ini oleh pihak berkuasa.

"Kami tidak sanggup lagi mendengar kes seumpamanya berlaku ke atas sesiapa pun. Seorang bayi kehilangan nyawanya. Seorang ibu yang berpantang tanpa kehadiran bayinya. Seorang ayah yang dilanda kesedihan kerana pemergian warisnya," tulis surat berkenaan.

Khidmat ‘doula’ dikatakan popular di sesetengah negara barat. Doula merupakan individu yang bukan dari bidang perubatan tetapi hadir memberi sokongan dari segi emosi dan fizikal kepada ibu-ibu mengandung sebelum, semasa dan selepas melahirkan anak.

Menurut laman www.dona.org yang mengajar serta membekalkan doula di Amerika Syarikat, kelahiran melalui doula didakwa dapat mengurangkan risiko melahirkan anak secara pembedahan, kurang berkemungkinan untuk menggunakan sebarang ubat tahan sakit serta para ibu dapat melahirkan anak secara positif.

Justeru, menurut surat itu lagi, kes berkenaan bukanlah yang pertama sebaliknya ia telah banyak berlaku sejak beberapa tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, kes-kes seumpama itu tidak mendapat liputan media kerana kekangan dari pihak hospital untuk membuat pendedahan atas faktor privasi dan etika kerahsiaan pesakit, kata surat itu.

Dari sudut perundangan, mereka berkata, tiada tindakan boleh diambil kerana golongan doula ini tidak memperkenalkan diri sebagai doktor atau bidan serta tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana badan autoriti termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi kes-kes kematian dan kecelakaan yang berlaku, mereka (doula) memberi alasan komplikasi tersebut terjadi akibat pilihan ibu bapa sendiri.

"Akibatnya kumpulan-kumpulan doula ini tetap masih aktif bermaharajalela mempromosi kegiatan mereka, mengadakan kelas-kelas bersalin di seluruh negara.

"Di Johor juga, mereka bergerak bebas dengan sewenang-wenangnya. Bayaran yang mereka kenakan untuk ibu-ibu mengandung untuk menghadiri kelas mereka tidak masuk akal harganya," kata surat itu.

Lihat Komen
ADS