Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Kerajaan jadi sasaran bila kos sara hidup naik

Kerajaan sering menjadi sasaran untuk dipersalahkan bagi kenaikan kos sara hidup walaupun tiada kuasa untuk menentukan harga kebanyakan barangan dan perkhidmatan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

"Kerajaan adalah punching bag terbaik. Di mana-mana negara, jika anda berdepan masalah (dengan kenaikan kos sara hidup), anda salahkan kerajaan. Ini perkara biasa," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini dan Free Malaysia Today semalam.

Beliau berkata, kerajaan hanya boleh mengawal dan memberi subsidi kepada sejumlah barangan asas terpilih bagi melindungi rakyat daripada tekanan inflasi.

"Tetapi anda tidak boleh dengan begitu sahaja menentukan harga makanan dan produk yang diproses...Ini adalah pasaran bebas (dengan prinsip) bekalan dan permintaan," katanya.

Beliau memberikan minyak masak sebagai contoh, dan berkata pengguna boleh membeli minyak masak bersubsidi berharga RM2.50 untuk pek satu kilogram berbanding yang berjenama lain.

"Anda boleh membeli minuman koko tanpa jenama pada harga yang murah. Jika anda mahu membeli Milo, kami tidak boleh mengawal (harganya). Apakah anda harap kerajaan untuk memberitahu Milo untuk meletakkan harga tertentu?" katanya.

"Jika anda Milo yang berharga tinggi (berbanding jenama lain), bagaimana anda boleh salahkan kerajaan?"

Katanya, kerajaan juga tidak boleh mengarahkan pemilik restoran Mamak untuk menurunkan harga mereka kerana pasaran bebas ditentukan oleh bekalan dan permintaan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kenaikan kos sara hidup akan memberi kesan kepada BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mempertahankan Titiwangsa

Pada PRU ke-14, Johari dijangka akan mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa dan kemungkinan besar lawannya akan menggunakan isu kenaikan kos sara hidup sebagai senjata memandangkan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Pada PRU lalu, Johari mengalahkan calon PAS hanya dengan kelebihan 866 undi. Namun pada kali ini beliau mungkin akan mendapat kelebihan ekoran perpecahan undi pembangkang.

Titiwangsa adalah satu daripada dua kerusi Parlimen di Kuala Lumpur yang dimenangi Umno pada 2013. Baki sembilan kerusi dimenangi DAP (lima kerusi) dan PKR (empat kerusi).

Banyak kajian menunjukkan kenaikan kos sara hidup menjadi isu utama bagi pengundi pada PRU akan datang, yang perlu diadakan dalam masa enam bulan.

Johari yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno menggesa rakyat Malaysia agar hidup berdasarkan kemampuan masing-masing.

"Jika pendapatan seseorang itu adalah RM3,000 sebulan, dia kena hidup mengikut pendapatan itu. Jika nak hidup seperti berpendapatan RM5,000, tak bolehlah," katanya.

Johari juga mempersoalkan sesetengah pihak yang menyalahkan kerajaan jika mereka tidak menerima kenaikan gaji atau bonus.

Beliau berkata, isu berkaitan pendapatan rakyat Malaysia tidak boleh dilihat secara pukul rata (generalisasi).

Katanya lagi, soal itu sebenarnya bergantung kepada prestasi syarikat tempat mereka berkerja.

"Bandingkan gaji penjawat awam sekarang dengan sepuluh tahun lalu, anda akan lihat (perbezaan) gaji mereka.

"Periksa (gaji) di bank, syarikat multinasional, syarikat awam yang untung berjuta ringgit, saya tidak pernah dengan kakitangan mereka merungut," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS