Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor hari ini mendakwa ada pihak yang menawarkan rasuah kepada dua pemimpinnya agar keluar parti, beberapa hari selepas sayap wanita parti itu juga membuat dakwaan sama.

Ketua Pemuda BERSATU Selangor Adhif Syan Abdullah mendakwa dua individu yang menerima tawaran itu adalah Timbalan Ketua Pemuda BERSATU Selangor Anas Akashah Nazri dan Ketua Pemuda BERSATU Sabak Bernam Saufi Yusof.

Beliau mendakwa kedua-duanya ditawarkan wang tunai dan pekerjaan.

"Pihak itu memujuk (Anas dan Saufi) untuk keluar parti dan mengumumkannya pada sidang media bersama mereka. Syukurlah sahabat saya berjiwa kental menolak anasir tidak bermaruah ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Anas dan Saufi, serta peguam haniff Khatri Abdulla.

Mereka menunjukkan transkrip perbualan yang dikatakan membuktikan individu tersebut menawarkan wang dan pekerjaan jika mereka setuju mengadakan sidang media bersamanya.

"Dia tawarkan kepada saya untuk buat sidang media yang berniat jahat untuk melemahkan parti. Jika dia rasa saya hanya mereka cerita, saya cabar dia untuk saman saya Selasa ini," kata Anas.

Individu yang didakwa membuat tawaran itu adalah bekas pemimpin pemuda peringkat bahagian. Beliau masih menjadi ahli BERSATU tetapi sering dilihat bertentangan dengan kepimpinan parti.

Malaysiakini telah menghubungi individu tersebut dan sedang respons daripadanya.

Adhif berkata lagi, setakat ini hanya dua pemimpin itu yang menerima tawaran sedemikian dan meminta mana-mana anggota yang pernah ditawarkan perkara sama untuk tampil mendedahkannya.

Setakat ini Pemuda BERSATU Selangor belum melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun polis.

Pada 5 Februari lalu, Ketua Srikandi BERSATU Rina Mohd Harun juga mendakwa seorang anggotanya ditawarkan dedak untuk membuat sidang media memburukkan parti.

Namun peguam Haniff Khatri Abdulla yang juga menyertai sidang media itu berkata tidak boleh memberikan maklumat lanjut kerana sudah disiasat SPRM.

Lihat Komen
ADS