Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia akan bincang dengan S'pura cadangan pusat imigresen tunggal

Malaysia akan mengadakan perbincangan secara terperinci dengan kerajaan Singapura berhubung cadangan memperkenalkan pusat pemeriksaan tunggal di Tambak Johor, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean bagi membincangkan secara terperinci cadangan pusat pemeriksaan tunggal Kastam dan Imigresen itu.

“Mereka (Singapura) perlu membentuk badan bertindak seperti dilakukan Malaysia … saya belum bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura (Teo) kerana beliau adalah dalam kedudukan yang sama seperti saya dan kita akan bincangkan secara terperinci mengenai perkara itu.

“Mungkin soal tafsiran yang berbeza dan ini perlukan artikulasi daripada kedua-dua belah pihak antara Malaysia dan Singapura,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan projek membina semula jalan persekutuaan Yong Peng-Segamat di Tenang di Segamat hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong yang juga anggota Parlimen Labis.

Semalam, media melaporkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura menolak cadangan bagi memperkenalkan pusat pemeriksaan imigresen dan kastam tunggal di Tambak Johor.

Ahmad Zahid berkata sekiranya cadangan itu dapat dilaksanakan, pusat pemeriksaan tunggal itu memainkan peranan yang penting dalam melancarkan aliran trafik dan mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia harus menghormati aspek-aspek keselamatan yang dikhuatirkan Singapura, namun tidak melihat sebarang masalah untuk cadangan itu dilaksanakan.

“Kita tahu bahawa terdapat kesesakan di Tambak Johor dan saya telah berbincang dengan Menteri Besar Johor untuk kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk sama-sama menangani isu tersebut,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau sendiri telah mempengerusikan badan bertindak bagi menangani kesesakan di Tambak Johor dan dijangka RM100 juta dibelanjakan untuk menaik taraf laluan sedia ada bagi mengatasi masalah itu.

“Pada dasarnya, kita telah bersetuju kos ini dikongsi bersama 50 peratus oleh kerajaan negeri dan 50 peratus oleh kerajaan pusat,” katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS