Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis dedah CCTV rakam pelajar ambil telefon guru
Diterbitkan:  Feb 12, 2018 12:34 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Polis mengesahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah yang diperoleh polis menunjukkan seseorang mengambil telefon bimbit gurunya.

Namun sumber polis yang memberitahu Berita Harian maklumat itu enggan mengulas lanjut kerana dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.

Sebaliknya beliau mememinta semua pihak menunggu proses inkues yang akan dijalankan.

Difahamkan, guru di sekolah berdekatan Nibong Tebal itu, sebelum ini sudah mengetahui perkara berkenaan selepas melihat rakaman CCTV sekolah dan bertanyakan kepada pelajar berkenaan yang enggan mengakuinya.

Sementara itu, portal The Mail Online memetik Ketua Polis Pulau Pinang, A Thaiveegan sebagai berkata siasatan masih belum dapat mengesahkan pelajar tingkatan dua yang membunuh diri tempoh hari, itu yang mencuri iPhone gurunya.

Thaiveegan berkata polis masih tidak dapat mengesahkan rakaman itu kerana kualiti video agak rendah.

"Kami memerlukan pakar forensik untuk terus mempertingkatkannya untuk melihat siapa yang ambil, jadi sehingga itu kami tidak dapat mengulas lanjut.

"Pada masa ini apa yang ditulis, tidak boleh disahkan," katanya.

Polis juga sebelum ini sudah menyiapkan tiga kertas siasatan berhubung kes itu dan menyerahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Bagaimanapun, kertas siasatan terbabit dipulangkan kepada polis untuk ditambah keterangan beberapa saksi.

Pelajar tingkatan dua itu sebelum ini dimaklumakan telah dipanggil oleh empat guru untuk bertanyakan perbuatannya mengambil telefon milik seorang daripada guru berkenaan.

Bagaimanapun dia tidak mengaku melakukan kesalahan tersebut sebelum mengambil tindakan menggantung diri di rumahnya pada 24 Januari lalu. Pelajar itu meninggal dunia pada usia 13 tahun pada 1 Februari lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS