Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hantar etnik Uighur pulang bercanggah dengan hak asasi

KATA MP l Saya memandang serius masalah etnik Uighur yang ditahan di Malaysia yang berkemungkinan besar akan dihantar pulang ke China secara paksa.

Laporan Human Rights Watch (HRW) menyebut tentang kemungkinan kumpulan etnik ini akan berhadapan penganiayaan, ancaman penjara dan penyeksaan yang jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Saya turut memahami dilema Kuala Lumpur untuk menolak permintaan Beijing ini kerana hubungan diplomatik yang erat serta kepentingan pelaburan dan perdagangan lumayan yang diperoleh ketika ini.

Bagaimanapun, saya menyeru supaya Kuala Lumpur menggunakan saluran diplomatik yang pelbagai termasuk cuba mendapatkan kerjasama daripada negara-negara berpengaruh termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani masalah ini.

Di samping itu, saya ingin mengulangi juga gesaan HRW supaya kerajaan membenarkan kumpulan etnik ini mendapatkan akses yang adil untuk menentukan status pelarian mereka dan bukannya turut dihantar pulang ke China.

Langkah ini sesuai dengan undang-undang antarabangsa yang tidak membenarkan tahanan dihantar secara paksa ke mana-mana tempat yang berpotensi untuk dikenakan sebarang penindasan yang bercanggah dengan hak asasi manusia.

Saya percaya rekod Beijing terhadap persoalan hak asasi manusia yang tidak begitu memuaskan perlu dijadikan garis sempadan yang penting oleh Kuala Lumpur untuk membuat keputusan penting ini.

Banyak laporan yang diterbitkan menunjukkan bagaimana umat Islam di China ditindas oleh kerajaan termasuk dihalang melakukan ibadah puasa, berjanggut dan menyimpan objek yang berunsurkan Islam.

Saya khuatir jika tuduhan bahawa kumpulan etnik Uighur itu terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh hanyalah alasan semata-mata yang tidak dibuktikan kebenarannya.

Saya berharap Perdana Menteri boleh bertindak melangkaui kepentingan ekonomi dua hala dan menggunakan hubungan baik dengan kerajaan China untuk mendapatkan jaminan keselamatan ke atas golongan etnik Uighur itu.


DR SITI MARIAH MAHMUD adalah anggota parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH) Kota Raja merangkap ketua Wanita parti itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS