Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga mahu NST, BH mohon maaf
Diterbitkan:  Feb 13, 2018 9:49 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Keluarga M Vasanthapiriya mengeluarkan notis tuntutan kepada New Straits Times Press untuk menarik balik dua artikel yang diterbitkan dalam akhbarnya, New Straits Times dan Berita Harian.

Notis itu ditujukan kepada editor kumpulan NST dan wartawan berpangkalan di Pulau Pinang, Shamsul Munir Safini.

Artikel-artikel tersebut bertajuk “CCTV footage shows Vasanthapiriya taking iPhone,” yang disiarkan di NST dan “CCTV rakam pelajar ambil telefon guru,” yang diterbitkan di Berita Harian pada 11 Feb.

Kedua-dua artikel melaporkan dakwaan bahawa rakaman CCTV menunjukkan Vasanthapiriya mengambil telefon bimbit gurunya.

Remaja itu sebelum ini dilapor menggantung diri selepas didakwa mencuri telefon bimbit milik gurunya. 

Muniandy mengadakan sidang akhbar di Nibong Tebal, Pulau Pinang, sejurus selepas artikel itu disiarkan dan mendesak semua pihak supaya tidak "menjatuhkan reputasi" anak perempuannya yang telah meninggal dunia.

Sementara itu Parmjit Singh yang mewakili R Muniandy berkata anak guamnya "terkejut, marah dan kecewa" apabila membaca artikel yang disiarkan NST.

Parmjit berkata artikel itu mengandungi pembohongan menandangkan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan memberitahu pemberita bahawa identiti individu yang ditunjukkan dalam rakaman CCTV masih disiasat.

Peguam juga menuntut agar NST menarik segera artikel berkenaan dan membuat permohonan maaf di media cetak dan dalam talian.

"Kami mengharapkan penarikan balik dan permintaan maaf yang sama seperti artikel asal," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi editor Yushaimi Yahaya dan Shamsul Munir serta sedang menunggu maklum balas mereka.

Muniandy menemui anak perempuannya tergantung dengan sehelai selendang di biliknya pada 24 Januari.

Remaja itu meninggalkan nota menafikan dakwaan mengambil Iphone milik gurunya.

Dia meninggal dunia seminggu selepas itu pada 4 Februari selepas mengalami kecederaan otak di Hospital Seberang Jaya.

Polis dan Kementerian Pendidikan masih menyiasat kes itu.

Lihat Komen
ADS