Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN: Nama DAP tak ada dalam kitab
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 12:02 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Parti politik tidak harus mencampur aduk agama dalam hal ehwal politik kerana dikhuatiri menyentuh sensitiviti semua pihak, kata wakil rakyat DAP.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku Lau Weng San bagaimanapun berkata beliau menyerahkan kepada pakar agama untuk menentukan kewajaran dalam meletakkan hukum dalam politik.

Lau secara peribadi berpendapat menjatuhkan hukum haram bagi penyokong DAP sama seperti mempersendakan agama, lapor Sinar Harian.

“Haram itu jika buat, berdosa besar dan masuk neraka, malah perkara itu dijelaskan dalam kitab....tapi nama DAP tidak ada dalam kitab, mana boleh jatuh hukum itu.

“PAS suatu masa dahulu juga pernah bekerjasama dan menyokong DAP jadi mereka lebih arif. Tak perlu guna agama untuk raih undi,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sebaliknya, beliau berkata, pengundian itu perlulah dinilai berdasarkan tujuan calon itu bertanding.

Katanya, DAP bertanding bersama Pakatan Harapan bagi menjatuhkan Umno BN.

Justeru beliau meminta ahli politik berhati-hati dalam menggunakan agama dan jangan sampai melangkaui batas.

Semalam, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Husam Musa dilaporkan menyelar tindakan segelintir pihak yang menjatuhkan hukum haram bagi pengundi yang menyokong DAP.

Lau berkata, fatwa yang ditimbulkan itu adalah mempergunakan nama Islam atas kepentingan politik dan disifatkan karut.

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh pula berkata, PAS dan Umno sering menggunakan hal agama bagi menakutkan pengundi Melayu.

“Tetapi dengan adanya media alternatif dan media sosial, membuka minda rakyat untuk berfikir secara rasional serta terbuka.

“Peluang DAP memberikan khidmat di Pulau Pinang dan Selangor juga meyakinkan rakyat bahawa DAP adalah parti yang lebih baik dalam menjaga kebajikan mereka,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Beliau turut berharap agar lebih banyak kerusi dimenangi HARAPAN membentuk kerajaan bagi mengubah persepsi masyarakat seterusnya mengubah sistem pentadbiran persekutuan.

Lihat Komen
ADS