Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin: Luar bandar jadi medan HARAPAN pada PRU14
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 11:55 AM
Dikemaskini: 7:54 AM

Bagi Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, medan sokongan pembangkang kini tidak lagi terhad kepada kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan Subang.

"Kami (Pakatan Harapan) telah mengalihkan medan ke kawasan luar bandar, seperti kawasan majoriti Melayu, Felda, Sabah, Sarawak, Johor, Perak dan kawasan pedalaman di Pahang.

"Orang Melayu merasa tidak selamat dengan Umno, mereka juga bimbang dan kecewa. Mereka akan melakukan perubahan jika merasakan hak mereka terjamin," katanya yang juga naib presiden HARAPAN dalam wawancara dengan Nanyang Siang Pau.

Menjadikan Selangor sebagai contoh, beliau berkata negeri yang dahulunya kubu kuat Umno akhirnya jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada 2008 selepas rakyat negeri itu yakin pembangkang akan menjaga hak mereka.

sebelum ini, banyak penganalisis menyatakan halangan utama HARAPAN untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya umum (PRU) adalah untuk merampas kerusi luar bandar daripada BN.

Penyertaan Parti Pribum Bersatu Malaysia (BERSATU), terutama pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, ke dalam barisan pembangkang dilihat dapat mengatasi kelemahan itu.

Mengulas lanjut, Azmin berkata sokongan penduduk luar bandar yang sebelum ini menyokong BN boleh diraih dengan menyebarkan kejayaan negeri yang ditadbir pembangkang.

Beliau berkata kejayaan Selangor dan Pulau Pinang akan memberi keyakinan kepada pengundi bahawa HARAPAN sudah bersedia untuk mentadbir negara.

Katanya, Selangor menjadi negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan penduduknya dilayan secara saksama.

"Dulu Umno mendakwa tanpa mereka habislah orang Melayu, tetapi HARAPAN memberitahu yang hak mereka akan dilindungi walaupun tanpa Umno di Selangor.

"Masyarakat Cina dan India dilayan secara adil, mereka bangga menjadi orang Selangor. Apabila kami beritahu perkara ini kepada orang Melayu, mereka mengatakan ia (layanan adil) adalah tindakan yang betul dan mereka sedia untuk lakukan perubahan," kata Azmin lagi.

Lihat Komen
ADS