Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Israel guna tekanan diplomatik masuk ke Msia
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 8:28 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Israel terpaksa menggunakan 'tekanan diplomatik secara terperinci' untuk hadir menyertai sidang Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN-HABITAT) di Kuala Lumpur.

Berdasarkan laporan The Jurusalem Post, para diplomat Israel membawa perkara ini ke pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) António Guterres.

David Roet memberitahu akhbar itu Israel - khususnya delegasi ke PBB dan kedutaan di Nairobi, tempat ibu pejabat UN-HABITAT - bersungguh-sungguh berjuang dalam isu ini.

Beliau berkata dengan menaja acara berkaitan PBB, Malaysia bertanggungjawab dengan komitmennya kepada PBB bagi membenarkan penyertaan dari seluruh negara.

"Kami membuat tuntutan terhadap apa yang datang kepada kami," kata Roet.

Hal ini, kata beliau akan menjadi duluan (precedent) kepada persidangan-persidangan PBB akan datang. Sidang UN-HABITAT akan datang bakal berlangsung di Abu Dhabi pada 2020.

Bagaimanapun, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) sama seperti Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan Israel.

Roet menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sukar untuk mendapat kebenaran masuk dan kehadirannya 'bukan bertujuan memantapkan hubungan Malaysia dengan Israel'.

Roet berkata beliau menemui pegawai kanan Malaysia, meskipun pegawai tersebut tidak mengendalikan hubungan Malaysia-Israel secara langsung.

"Israel tidak melihat Malaysia sebagai musuh atau seteru dan tidak ada sebab bagi dua negara ini untuk tidak mempunyai hubungan," kata beliau.

Roet juga berkata beliau memberitahu para pegawai Malaysia bahawa memboikot Israel tidak akan membantu perjuangan Palestin.

"Saya memberitahu mereka bahawa kami mempunyai hubungan dengan beberapa negara yang tidak bersetuju dengan kami dalam konflik berkaitan Palestin tetapi kami menjaga hubungan baik antara negara tersebut.

"Orang akan sedia mendengar daripada orang lain yang menjadi temannya, tetapi bukan daripada musuhnya. Dan...memboikot Israel akan menjauhkan Malaysia daripada memiliki sebarang pengaruh.

"Adakah saya dapat menyakinkan mereka? Saya tidak pasti," kata Roet.

Akhbar itu mengambil maklum walau pun Malaysia berpendirian anti-Israel, perdagangan antara dua negara bernilai AS$1.43 bilion pada 2015 dan sekitar AS$600 juta pada 2016.

"Kebanyakan dagangan itu adalah cip komputer yang dipindahkan dari kilang Intel di Israel ke kilang syarikat itu di Malaysia," kata laporan itu lagi.

Permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan ulasan kementerian luar Malaysia berhubung kehadiran diplomat Israel ke tanah Malaysia itu masih belum berjawab sejak semalam.

 

Lihat Komen
ADS