Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu tanah Ijok: Khairuddin nak saman Rahman Dahlan
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 11:34 AM
Dikemaskini: 4:05 AM

Penyelaras Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bercadang untuk memfailkan saman terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan yang didakwa memfitnahnya dalam pertikaian tanah di Ijok.

"Saya akan segera berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang saman malu di atas fitnah yang tidak berasas oleh Abdul Rahman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin yang menurutnya orang pertama yang memfitnahnya dalam isu itu.

Semalam, Abdul Rahman menggesa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menjelaskan soal tanah bernilai RM1.18 bilion di Ijok kepada dua syarikat sebelum kes didengar di Mahkamah Persekutuan.

Dua syarikat itu ialah Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCDN Develoment Sdn Bhd yang mana Penyelaras Deklarasi Rakyat Datuk Khairuddin Abu Hassan mempunyai jawatan tinggi dalam syarikat itu.

Rahman mempersoalkan keputusan Azmin mengembalikan tanah itu kepada syarikat tersebut memandangkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, masing-masing pada 2013 dan 2014, memutuskan ia milik kerajaan Selangor.

Khairuddin yang merupakan bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan berkata isu tersebut tiada kena-mengena dengan Azmin, sebaliknya dengan pemimpin Umno negeri terdahulu.

"Kes tanah peneroka Ijok dibeli oleh Mujur Zaman Sdn Bhd pada tahun 1990-an, ketika Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menjadi menteri besar," dakwanya.

Beliau berkata tidak mempunyai kaitan dengan Mujur Zaman pada masa itu dan hanya menyertainya pada tahun 2009 atas kapasitinya sebagai pengerusi Prime Utilities Bhd dan Fountain View Bhd, di mana Mujur Zaman merupakan anak syarikat.

Katanya, tanah itu bukan milik kerajaan negeri tetapi tanah persendirian yang dibeli Mujur Zaman daripada peneroka.

Katanya lagi, beliau ditugaskan untuk menyelesaikan masalah projek perumahan yang terbengkalai dan isu cukai tanah.

"Apabila masalah diselesaikan, saya letak jawatan sebagai pengerusi Prime Utilities dan Fontain View pada tahun 2003. Saya tidak memegang sebarang saham syarikat , tetapi hanya pengerusi yang dilantik," katanya lagi.

Beliau berkata akan memberikan lebih penjelasan apabila kes ini dibawa ke mahkamah.

Pada Mei 2016, Azmin memfailkan perjanjian penyelesaian di Mahkamah Persekutuan dan berkata kerajaan negeri dan dua syarikat itu setuju untuk membatalkan kes tersebut.

Selangorkini melaporkan Azmin telahpun membayar pampasan kepada kesemua 980 peneroka berbentuk pampasan tunai RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000 seorang.

Lihat Komen
ADS