Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalid mahu isu tanah Ijok disiasat lebih dalam
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 3:22 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menggesa pihak berkuasa menyiasat dengan lebih terperinci penyerahan semula tanah kepada LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd.

Menurut Bekas menteri besar Selangor itu, tindakan kerajaan negeri menyerahkan kembali tanah di Ijok yang dirampas pada 2009 itu mengundang persepsi mencemarkan reputasi mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang itu juga menambah, penyerahan kembali tanah berkenaan dilihat bukan amalan yang baik atau 'good business sense' dalam mengendalikan aset rakyat Selangor.

"Sekarang terdapat persepsi bahawa penyelesaian tersebut dibuat dalam keadaan mencurigakan, sekali gus mencemar nama baik dan reputasi kerajaan negeri.

"Saya berharap pihak berkuasa menyiasat dengan lebih mendalam perkara ini terutamanya mereka yang terlibat dalam penyelesaian tersebut supaya kebenaran dapat didedahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendesak Menteri Besar Selangor memberi penjelasan berhubung penyerahan semula tanah bernilai RM1.8 bilion itu ketika kesnya belum didengar di Mahkamah Persekutuan.

Status tanah tak ditukar

Abdul Rahman berkata, tindakan Datuk Seri Azmin Ali itu mengundang persoalan kerana keputusan mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan sebelum ini memihak kepada kerajaan negeri Selangor.

Untuk rekod keputusan mahkamah berkenaan dibuat ketika Khalid menjadi menteri besar.

Tanah di Ijok itu merupakan projek Bandar Alam Perdana melibatkan projek pembangunan rumah kos rendah dan rumah teres terbengkalai sejak 2002.

Ekoran itu, kerajaan negeri semasa pentadbiran Khalid merampas tanah berkenaan disebabkan peneroka menyerahkan tanah itu kepada pemaju untuk dimajukan dan ribuan pembeli rumah gagal mendapat rumah mereka.

Walaupun projek tersebut diluluskan kerajaan negeri ketika itu, status tanah belum ditukar daripada pertanian kepada pembangunan kerana kegagalan pemaju membayar premium tukar syarat.

Kerajaan Selangor kemudian mengambil alih projek di tanah seluas 1,037 ekar itu daripada Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan membelanjakan RM200 juta untuk membiayai kos pembinaan rumah, pembayaran pinjaman bank dan menyediakan infrastruktur lain.

Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kemudiannya menyaman kerajaan negeri dan Khalid di mahkamah tinggi untuk mendapat balik tanah tersebut.


Baca Mat Taib: Ada pemimpin Umno perlu disingkirkan


Keputusan mahkamah tinggi pada Oktober 2013 memihak kepada kerajaan negeri dan Khalid.

Selepas itu, dua syarikat terbabit membawa kes mereka ke mahkamah rayuan, dan pada Februari 2014 sekali lagi hakim memihak kepada kerajaan negeri dan Khalid.

Kemudian, apabila Azmin menjadi menteri besar Selangor, dua buah syarikat terbabit merayu ke mahkamah persekutuan.

Selepas itu, kedua-dua syarikat tersebut dan beberapa syarikat berkaitan pada September 2015 membuat perjanjian dengan sebuah syarikat awam untuk menjual 2.1 ekar tanah pada harga RM1.18 bilion dengan syarat mendapat kelulusan kerajaan Selangor.

Selang beberapa bulan selepas itu, sekitar Mei 2016, Azmin memfailkan satu perjanjian penyelesaian di mahkamah persekutuan bahawa kerajaan Selangor dan dua buah syarikat itu telah bersetuju untuk membatalkan kes terbabit.

Azmin kemudiannya membuat keputusan menyerahkan semula tanah terbabit kepada LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd.

Selangorkini pula melaporkan Azmin membayar pampasan kepada kesemua 980 peneroka dalam bentuk tunai RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000 seorang.

Khalid juga mendakwa, semasa saman membabitkan dirinya dan dua syarikat pemaju berjalan, ada pihak tertentu menawarkan jawatan menteri besar bagi menyelesaikan kes tersebut.

Namun Khalid berkata, beliau tekad mempertahankan keputusannya kerana menganggap tindakan pemaju berkenaan menyebabkan projek terbengkalai dan menyusahkan ribuan keluarga peneroka dan pembeli rumah.

Lihat Komen
ADS