Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia merupakan negara yang dilihat agak lantang bersuara dalam mengkritik Israel. Namun begitu, kehadiran diplomat negara itu ke Malaysia pada persidangan World Urban Forum (WUF) yang berlangsung dari 7 Februari dan berakhir kelmarin menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Mengulas perkara ini, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim menyatakan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan apa-apa juga yang membabitkan Israel.

"Sikap rakyat Malaysia dari dulu konsisten dan apa-apa saja yang berbaur Israel termasuk penganjuran sukan, aktiviti lain memang mesej rakyat Malaysia jelas bahawa kita tidak mahu apa-apa hubungan dengan Israel.

"Polisi negara terhadap Israel secara diplomatik sudah termaktub bahawa kita tidak mengiktiraf Israel. Jadi, jelas kita tak boleh berkompromi apa sahaja yang datang dari Israel.

"Sebab sikap Israel semakin hari semakin jelas dan penindasan mereka tak berubah polisinya dari dulu lagi, kita tak boleh berkompromilah apa pun alasannya untuk benarkan Israel," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian mengulas kehadiran diplomat Israel ke Malaysia baru-baru ini.

Untuk kali pertama sekumpulan diplomat Israel tiba secara rasmi di negara ini ketika Putrajaya dan Tel Aviv tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.

Mengesahkan kehadiran itu, jurucakap Kementerian Luar Israel Emmanuel Nahshon berkata diplomat negara ' itu menghadiri satu persidangan UN-HABITAT, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan penempatan manusia yang berlangsung selama seminggu di Kuala Lumpur.

Selain memberi tamparan hebat kepada kepimpinan negara, Mohamad Raimi berkata kehadiran diplomat Israel itu juga mengundang ketidakpuasan hati rakyat di negara ini bahkan rakyat Palestin sendiri.

"Kita telah menyatakan pendirian yang jelas menyokong Palestin, namun tindakan ini pastinya mengecewakan rakyat Palestin dan rakyat Malaysia yang mendokong aspirasi rakyat Palestin," katanya.

Kata Mohamad Raimi, jika ada sekali pun usaha rundingan bagi membantu rakyat Palestin dengan Israel ia tidak seharusnya diadakan di Malaysia.

"Kalau ada sekalipun usaha untuk mediasi atau menjadi orang tengah atau pun sebarang ikhtiar dari segi diplomasi untuk membantu rakyat Palestin dan hubungan melalui Israel ia tak sepatutnya diadakan Malaysia.

"Ada pun forum-forum antarabangsa dan Malaysia terlibat platform lain boleh digunakan di peringkat antarabangsa tapi tidak sama sekali membenarkan wakil Israel ke Malaysia seperti yang berlaku sebelum ini," katanya selain menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan berhubung perkara tersebut.

Manakala Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom mempersoalkan keikhlasan Malaysia dalam mendukung matlamat perjuangan membela nasib rakyat Palestin.

Malah Mohamed Hatta berkata apa yang berlaku kini merupakan satu pengkhianatan kepada perjuangan kemanusiaan di seluruh dunia.

"Pendirian kerajaan Malaysia yang selama ini kelihatan seolah-olah bersikap tegas terhadap kezaliman kerajaan Zionis Israel kini tergugat dengan kemasukan diplomat Zionis bernama David Roet.

"Keikhlasan Malaysia yang selama ini menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas kini sudah boleh dipersoalkan.

"Bagi rakyat dan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang terus memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di dalam dan di luar Palestin, kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan zalim Zionis Israel merupakan satu pengkhianatan kepada perjuangan kemanusiaan di seluruh dunia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendesak kerajaan mengambil sikap tidak membenarkan kemasukan diplomat Israel ke Malaysia.

Timbalan Presidennya, Aminuddin Yahaya ketika dihubungi Malaysiakini berkata Malaysia dibawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga harus konsisten dengan apa yang dilaungkan sebelum ini.

"Kita rasa kecewa bagaimana perkara ini boleh berlaku dan dibenarkan masuk ke negara. Jadi kita minta kerajaan seharusnya mengambil sikap tidak membenarkan, seperti mana yang kita maklum Israel telah melakukan bermacam-macam pembunuhan, siang dan malam ke atas orang Islam.

"PM pun ada membuat kempen berhubung Palestin kita harap kerajaan konsisten dalam mempertahankan Palestin dan kehadiran tersebut harus dibantah semua pihak," katanya.

Selain itu Aminuddin berkata kehadiran diplomat Israel itu juga telah menimbulkan kesangsian rakyat kepada perdana menteri untuk bertegas dengan Israel.

"Orang akan nampak PM tidak konsisten dalam hal ini dan saya rasa pendirian negara dan ini akan menimbulkan keraguan kepada kerajaan untuk bertegas dengan Israel.

"Saya harap kerajaan ambil serius dalam perkara ini, kalau tidak rakyat akan nampak kenyataan kerajaan selama ini terhadap Israel hanyalah satu retorik dan tidak serius serta kepercayaan rakyat juga akan tergugat tentang sejauhmana keseriusan kerajaan memperjuangkan rakyat Palestin," katanya.

Manakala ketika ditanya Malaysiakini, apakah ISMA akan membuat bantahan berhubung perkara tersebut, Aminuddin menjawab,"kita dah buat (bantahan terhadap Israel) banyak kali dan perkara ini dibuat secara senyap.

"Lagi pun mereka dah balik, cuma kami berharap ia tidak berulang lagi dan kalau boleh kita nak beri peringatan kepada kerajaan bahawa kita tidak senang hati dengan apa yang berlaku ini, kelonggaran pihak kerajaan terhadap kehadiran Israel," tambahnya.

Rombongan diplomat Israel baru-baru ini yang diketuai Roet, timbalan duta Israel ke Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjadi rombongan rasmi yang pertama masuk ke negara ini secara sah.

Manakala stesen televisyen Israel, Hadashot TV, melaporkan delegasi itu turut disertai bekas menteri negara Yahudi itu, Ofir Pines.

Semakan di akaun Twitter Roet menunjukkan beliau melalui pengalaman menggembirakan sepanjang tempoh berada di negara ini.

Menyifatkan sebagai 'pengalaman unik', Roet menyimpan harapan tinggi untuk kedua-dua negara menjalin hubungan baik pada masa depan.

Beliau juga dipetik berkata terdapat banyak persamaan antara orang Malaysia dan Israel sebagai negara berbilang bangsa.


 

Lihat Komen
ADS