Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baiah sumpah setia laknat wajar dikekalkan, kata veteran PAS
Diterbitkan:  Feb 16, 2018 1:54 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

PAS dilihat wajar mengekalkan baiah sumpah setia laknat bagi mengikat kesetiaan wakil rakyatnya, kata veteran parti Islam itu Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok.

Bagaimanapun veteran PAS sejak 1966 itu berkata parti Islam itu boleh meneliti untuk memansuhkan baiah melibatkan penceraian talak tiga.

“Pada pandangan saya, sumpah setia laknat Allah masih perlu dikekalkan kerana kita bersumpah setia dengan Allah bagi menetapkan sikap kita dalam perjuangan, itu sangat penting walaupun mungkin sebabnya sudah tidak begitu jelas.

"Tetapi yang mungkin pimpinan parti boleh melihat keperluan memansuhkan taklik talak tiga,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Bekas Naib Presiden PAS itu turut berkata kewajaran membatalkan taklik itu berdasarkan situasi politik semasa yang tidak memungkinkan wakil rakyat menyeleweng jika memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya melihat situasi penyelewengan tidak dan sukar untuk berlaku lagi pada PRU14, jika berlaku pun, ia adalah isu terpencil, maka tidak memerlukan satu taklik yang menjatuhkan talak tiga kepada isteri.

“Justeru, mungkin taklik itu boleh dimansuhkan kerana sebabnya tidak ada atau sebabnya tidak begitu jelas. Bagaimanapun terpulang kepada pandangan dan keputusan pimpinan,” katanya.

Sumpah baiah yang melibatkan penceraian talak tiga diwajibkan kepada semua wakil rakyat PAS di Kelantan sebelum pilihan raya umum lalu untuk memastikan mereka tidak melompat parti dan jika berbuat demikian isteri mereka tercerai dengan talak tiga.

Namun Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed minggu lalu berkata, kandungan sumpah baiah itu kini akan diselaraskan bagi setiap negeri dan dijangka tidak lagi menyentuh perceraian.

Menurut Mahfodz, tindakan itu diambil kerana PAS tidak lagi berdepan keadaan genting seperti pernah berlaku dalam politik Kelantan.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakob juga turut berkata akan meneliti keperluan berkenaan, namun menegaskan ketetapan itu bergantung keputusan Majlis Syura Ulama PAS Pusat.

Lompat parti kes terpencil

Sementara itu Daeng berkata keperluan mendesak kerajaan Kelantan menyebabkan kepimpinan parti memasukkan lafaz taklik talak tiga dalam kandungan baiah sebelum ini.

Ditanya mengenai baiah termasuk taklik tidak dapat mengikat kesetiaan wakil rakyat sehingga berlaku kes lompat parti, Daeng bagaimanapun berkata ia soal terpencil.

“Ya, berpandangan memang ada yang melanggar baiah tetapi sangat kecil bilangannya, itupun hal terpencil. Saya lihat cuma ada seorang dua sahaja di Kelantan yang melanggar sumpah baiah talak tiga.

“Pada saya, itu terpulang antara mereka dengan Allah, PAS tidak perlu membangkitkan soal ini, tidak perlu campur tangan sebab ia antara wakil rakyat itu dengan Allah, bukan antara wakil rakyat dengan PAS.

“Hal terpencil seperti ini biasa berlaku dalam dunia politik, ia perkara biasa, malah dalam syariah pun ia adalah perkara biasa, cuba lihat berapa ramai yang melanggar hukum Allah, melanggar kesetiaannya kepada Allah,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS