Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jurutera sivil warga Malaysia, Richard Lau Yi Lok yang ditahan di Penjara Pusat Ras Al Khaimah (RAK) di Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah dibebaskan secara ikat jamin pada 4.30 petang semalam waktu tempatan.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Lau bagaimanapun akan terus berada di UAE bagi mengikuti perbicaraan di mahkamah sehingga kes beliau selesai.

"Pegawai-pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai telah berada di RAK bagi membantu urusan pembebasan Richard Lau Yi Lok.

"Kerajaan Malaysia menghargai hubungan erat antara Malaysia dan kerajaan UAE dan ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan UAE terutama Kementerian Luar UAE atas pembebasan Richard Lau Yi Lok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penghargaan serupa turut dinyatakan Anifah kepada Pemerintah Ras Al Khaimah, Kementerian Perundangan UAE, Jabatan Perundangan RAK dan pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi serta Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai.

Anifah seterusnya berkata semangat persaudaraan dan kesepakatan yang telah ditunjukkan oleh kerajaan UAE dalam membantu menyelesaikan masalah melibatkan warganegara Malaysia di negara Timur Tengah itu adalah hasil diplomasi di peringkat tertinggi.

Beliau berkata kerajaan Malaysia sentiasa menitikberatkan kebajikan warganya yang menghadapi masalah di luar negara dan komited dalam memastikan mereka mendapat bantuan konsular yang sewajarnya selaras dengan Konvensyen Vienna berkaitan Hubungan Konsular 1963 (VCCR 1963) dan peruntukan undang-undang tempatan.

Menurut laporan, Lau, 41, dihantar bertugas ke Ras Al Khaimah oleh syarikat pengangkutan marin Malaysia yang berpangkalan di Miri sebagai penyelaras projek di syarikat subsidiarinya di sana lima tahun lepas.

Menurut laporan itu, beliau ditahan susulan aduan dibuat seorang warga UAE yang merupakan rakan kongsi syarikat subsidiari itu, mendakwa beliau mencuri wang gaji.

Aduan itu merujuk kepada sejumlah wang dibayar kepada Lau yang sebenarnya adalah gajinya bagi menjalankan tugasnya seperti diarahkan syarikat induk.

- Bernama

Lihat Komen
ADS