Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FBI akui gagal bertindak atas penyerang di Florida
Diterbitkan:  Feb 17, 2018 10:32 AM
Dikemaskini: 2:54 AM

GLOBAL I Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada Jumaat mengaku gagal bertindak atas maklumat bahawa remaja yang dituduh membunuh 17 orang di Florida memiliki senjata api dan keinginan untuk membunuh.

Pengakuan itu mengundang kemarahan dan menyebabkan Gabenor Florida menggesa pengarah FBI meletakkan jawatan.

Seorang individu yang didakwa rapat dengan lelaki bersenjata itu, Nikolas Cruz menghubungi talian FBI pada 5 Januari untuk menyatakan kebimbangan mengenai tingkah lakunya, kata FBI dalam satu kenyataan.

"Pemanggil memberikan maklumat mengenai pemilikan senjata api Cruz, keinginan untuk membunuh orang, tingkah laku yang tidak menentu, dan posting di media sosial yang menggangu, serta potensi dia melakukan tembakan di sekolah," katanya.

Maklumat kepada FBI berhubung komen Nikolas Cruz di YouTube berbunyi, "Saya akan menjadi penembak sekolah profesional."

FBI mengatakan ia gagal menghubungkan komen itu dengan Cruz, yang dituduh melakukan serangan dengan menggunakan senjata api AR-15.

FBI mencetuskan kemarahan di Florida beberapa hari selepas Presiden Donald Trump menyalahkan penduduk tempatan kerana gagal memberi amaran kepada pihak berkuasa mengenai tingkah laku Cruz sebelum mengamuk dan melepaskan tembakan rambang.

Gabenor Florida, Rick Scott, berkata Pengarah FBI, Christopher Wray, harus meletak jawatan.

"Kegagalan FBI mengambil tindakan terhadap pembunuh ini tidak boleh diterima,"kata Scott dalam satu kenyataan, lapor Reuters.

"Kami sentiasa promosikan 'lihat sesuatu, lapor sesuatu,'  dan orang berani melakukan perkara itu kepada FBI. Dan FBI gagal bertindak," katanya.

Lain-lain anggota Republican, termasuk Senator Florida Marco Rubio juga mengkritik FBI manakala Peguam Negara AS, Jeff Sessions berkata beliau mengarahkan agar prosedur biro itu dikaji semula susulan insiden serangan itu.

Di majlis pengebumian salah seorang mangsa, Meadow Pollack, seorang rakan keluarganya Jeff Richman menyatakan rasa tidak percaya terhadap pengakuan FBI.

"FBI minta maaf? Beritahu itu kepada keluarga," kata Richman, 53, seorang eksekutif pengiklanan.

FBI berkata maklumat mengenai Cruz sepatutnya dikemukakan ke pejabatnya di Miami dan disiasat, tetapi perkara itu tidak dilakukan.

"Kami telah bercakap dengan mangsa dan keluarga, dan sangat menyesali penderitaan yang menyebabkan semua orang terkesan oleh tragedi yang mengerikan ini," kata Wray dalam satu kenyataan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS