Paling Popular
Terkini

ULASAN l Nama Pangkor dalam kamus politik biasanya dikaitkan dengan sejarah mulanya campur tangan politik Inggeris dalam pentadbiran negeri Perak melalui Perjanjian Pangkor 1874.

Pangkor juga mengingatkan kita kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. Dia berasal dari kawasan yang terkenal dengan destinasi pelancongan itu, dan kini menjadi wakil rakyatnya.

Jika pelawat datang bersiar ke Pulau Pangkor, jetinya terletak tidak jauh dari Kampung Teluk Raja Bayang. Itulah kampung halaman menteri besar Perak berkenaan.

Di situ juga ada sebuah masjid dan tanah perkuburan lama untuk orang Islam.

Penduduknya dahulu berasal dari Batu Bara, Terengganu dan Pulau Pinang. Kampung Teluk Raja Bayang ialah sebuah kawasan pelabuhan sejak ratusan tahun lalu.

Ia menjadi tempat para pengembara, pendakwah, pedagang dan sebagainya mencari untung nasib di negeri di sebelahan Selat Melaka.

Masjid terapung

Pantai kampung Teluk Raja Bayang adalah putih melandai dan sesuai sebagai tempat kapal atau perahu melabuhkan layarnya.

Inilah tempat yang menjadi saksi manusia berlabuh dan belayar pergi selama berzaman-zaman. Keadaan pantainya yang terlindung dari tiupan angin Selat Melaka menjadikan tempat tersebut sebuah pelabuhan yang strategik.

Biasanya pelawat akan melintasi kampung nelayan Melayu itu untuk ke Masjid Terapung, Batu Bersurat dan Kota Belanda. Rumah-rumah kayu orang Melayu di pinggir laut dan tepi bukit yang menghadap laut dibina rapat-rapat.

Ada juga rumah batu tetapi rata-rata rumah di situ sangat sederhana. Ketika ombak meraung ganas, percikan air masin hanya menyentuh lembut dinding rumah mereka. Ketika malam, suara deru ombak tiada pernah terhenti.

Tidur mereka tetap lena dibuai mimpi daripada anak kampung yang menjadi menteri negeri.

Orang tua-tua kata, jiwa pelaut memang keras dan nekad pada kesukaran. Benarlah pepatah menyebut, jangan berumah di tepi pantai jika takut dilambung ombak.

Jiwa nelayan, jiwa pelaut memang kental pada kemiskinan dan kemunduran. Pantang menyerah, harung lautan luas demi mengail secubit rezeki Tuhan.

Tiang rumah mereka masih berpasak pada tanah kerajaan. Menumpang belas kasih pada kerajaan yang berkuasa.

Hidup para pelaut dan nelayan memang sangat bersederhana. Menuntut tidak keras, mengalah penuh sopan. Untungnya ada surau baru dan masjid terapung. Bolehlah pelaut dan nelayan memanjat doa munajat agar dikurniakan rezeki yang melimpah dan kejayaan dunia dan akhirat.

Di hadapan Masjid Terapung, ada gerai-gerai menjual air dan kuih buat pelancong yang ingin merakam pemandangan indah.

"Bang, kalau ambil gambar waktu malam, cantik bang," pemandu van teksi Melayu itu memberi cadangan padaku yang berkira-kira mencari sudut pandangan menarik di situ.

Cukuplah pendapatan menambah rezeki menangkap ikan di lautan.

Raja Bayang

Di Batu Bersurat dan Kota Belanda, ada gerai sedang dalam pebinaan. Mimpi pelaut dan sang nelayan mendapat untung daripada pembangunan menjelang gong pilihan raya dipalu secara rasmi sedang mekar.

Anak-anak sang pelaut dan nelayan di hujung minggu mengambil upah membawa van teksi untuk pelancong bersiar-siar menikmati keindahan pantai dan ketenangan alam.

Mereka bercerita tentang keindahan pulau dan tempat bersejarah pada pelancong-pelancong. Tentang perihal pantai dan gerai makanan di Pasir Bogak, Teluk Nipah dan Teluk Dalam. Tentang lapangan terbang sunyi dan resort yang telah mati. Tetang pedagang Cina dan orang Melayu yang setia menjadi kuli.

Sayangnya ramai lupa bahawa orang Melayu sebenarnya adalah pelaut terhebat, si pemberani membelah samudera. Mereka sangka nama Raja Bayang adalah dogeng orang tua-tua lama.

Mereka dikhabarkan bahawa kampung halaman MB Perak itu dinamakan Raja Bayang kerana setiap kali bulan purnama, di pantai kampung mereka muncul bayangan berupa wajah sultan. Lalu dinamakan kampung itu sebagai Kampung Teluk Raja Bayang. Begitulah konon ceritanya.

Sebaliknya dari Koleksi Surat-surat Francis Light di Sekolah Kajian Timur dan Afrika (SOAS), London ada sepucuk surat daripada sultan Perak kepada Francis Light, Gabenor Pulau Pinang yang menyebut nama Raja Bayang.

Surat itu bernombor rujukan MS4032/11 folio 33 ditulis pada hari Jumaat, 26 Oktober 1787 bersamaan 13 Muharam 1202. Juga dicatatkan tarikh mengikut kalendar orang Melayu Perak sebagai Tahun Dal Akhir. Sayangnya kalender rekaan orang tempatan sudah terkubur dan pupus.

"Ini cerita zaman Francis Light dulu," aku memulakan sembang dengan penduduk tempatan yang sedang minum di jeti Pangkor.

Nama Raja Bayang bukan mitos, mimpi atau sekadar bayangan. Itu adalah nama seorang saudagar Melayu yang menjadi kepercayaan sultan Perak.

Ia bukan pencipta mitos, pemberi mimpi atau sekadar bayangan. Raja Bayang adalah saudagar, pedagang dan bangsawan yang berkhidmat kepada sultan.

Kemungkinan Sultan Perak ketika itu ialah Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (1773 – 1786) atau Sultan Ahmaddin Shah (1786 – 1806).

Dalam surat itu, baginda telah memaklumkan kepada Light bahawa baginda menghantar dua utusan bagi mendapatkan bekalan beras dari Pulau Pinang untuk kegunaan di Perak.

Dua utusan baginda ialah Raja Bayang dan Raja Lela Sutan.

Dalam koleksi surat-surat Light terdapat beberapa pucuk surat yang mencatatkan tentang Raja Bayang.

Sebagai saudagar yang berdagang antara Selangor, Perak dan Pulau Pinang, Raja Bayang berdagang dengan ramai pihak. Beliau berdagang dengan Inggeris, Belanda, pembesar Melayu, Jawa, Siam, kongsi Cina, India Cettiar dan segala aneka ragam pedagang.

Sayangnya orang Melayu kurang dalam tradisi penulisannya. Sejarahnya disimpan dalam ingatan dan lisan manusia. Dikongsi sewaktu menanti senja atau buat bahan cerita pada cucu yang sekali-sekala balik kampung.

Sejarah orang Melayu sebagai tukang buat kapal yang mahir tenggelam dengan masalah modal yang sedikit. Sejarah pedagang Melayu berniaga besar, hilang di celah-celah keringat nelayan menahan terik mentari di tengah lautan.

Agaknya lantaran kerana itulah coretan vandalisme sang lanun VOC pada batu yang kaku dan kota penjarah khazanah negeri diangkat sebagai monumen sejarah.

Ini sejarah yang membungkam harga diri bangsa.

Ironinya ia berlaku di kampung MB Perak sendiri!


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS