Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramai wanita Siam lebih suka kekal bujang
Diterbitkan:  Feb 17, 2018 9:28 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

GLOBAL l Sebuah kajian mendapati jumlah wanita muda Thailand yang lebih suka kekal bujang semakin meningkat sejak 17 tahun lalu.

Laporan kajian yang dikeluarkan Kajian Populasi Kolej Universiti Chulalongkorn (CPS) ke atas 9,457 wanita mendapati jumlah wanita belum berkahwin yang berumur 40 hingga 44 meningkat dari 6 peratus pada 2001 kepada 8 peratus.

Sementara peratusan wanita belum berkahwin yang berumur 45 hingga 49 tahun meningkat dari 5 peratus pada 2001 kepada 6.5 peratus.

Lebih mengejutkan adalah jumlah wanita belum berkahwin yang berumur antara 35 dan 39 tahun meningkat drastik kepada 12 peratus berbanding 7 peratus pada 2001.

Menurut pensyarah CPS Attaporn Sukoltamarn, lebih separuh daripada jumlah wanita yang belum berkahwin itu juga tidak bercadang untuk kahwin.

Attaporn menjelaskan, dua faktor utama wanita berkenaan lebih suka kekal bujang adalah kerana mereka mempunyai pendidikan tinggi selain tekanan masyarakat yang tidak kuat seperti dulu.

"Ibu bapa di Thailand lebih pentingkan pendidikan berbanding menekan anak mereka berkahwin," kata Attaporn yang dipetik media tempatan negara itu.

Faktor lain yang disebutkan Attaporn adalah golongan wanita berkenaan tidak berjumpa orang yang sesuai.

Menurutnya, wanita yang bekerja hari ini lebih menumpukan pada kerjaya dan peluang mengembara. Gaya hidup seperti itu menyebabkan mereka tidak begitu berpeluang bertemu jodoh.

Attaporn berkata, purata umur wanita Thailand berkahwin ketika ini adalah 25, namun angka itu dijangka meningkat.

Sementara itu, kajian itu juga mendapati 75 peratus wanita yang sudah berkahwin yakin mereka boleh menjalani kehidupan yang gembira tanpa melahirkan anak.

Dekan CPS Vipan Prachuabmor, berkata, penurunan jumlah wanita yang berkahwin di Thailand menunjukkan negara itu sedang berdepan dengan ketidakseimbangan populasi umur.

Menurut Vipan lagi, tahap kesuburan, yang merujuk kepada jumlah kelahiran yang dibandingkan bagi setiap wanita, kini berada di tahap paling rendah dalam sejarah negara Thailand.

Kadar kesuburan menurun daripada enam kelahiran bagi setiap wanita sebelum 1970 kepada 1.86 pada 2001 dan kini berada pada kadar 1.69.

"Thailand mempunyai jumlah golongan warga tua paling tinggi di antara negara-negara membangun di rantau Asia-Pasifik.

"Warga tua tidak digantikan oleh golongan muda pada jumlah yang cukup, kita mesti rancang kebajikan yang baik, kesihatan dan jaminan kewangan untuk warga tua," katanya.

Kerajaan Thailand kini bimbang negara itu akan menjadi seperti Jepun yang mempunyai populasi warga tua yang tinggi.

Lihat Komen
ADS