Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bendung penceramah segera guna hadis palsu'
Diterbitkan:  Feb 18, 2018 12:02 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Kemunculan ‘penceramah-penceramah segera’ yang menggunakan hadis-hadis palsu perlu dibendung kerana boleh boleh merosakkan keharmonian malah memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata penceramah tersebut dilihat sebagai mempunyai kepentingan peribadi sama ada untuk tujuan menaikkan populariti ataupun cuba mengumpul pengikut masing-masing, lapor akhbar tempatan.

“Jika dahulu, terdapat penceramah-penceramah agama yang menggunakan hadis-hadis palsu dengan tujuan untuk melariskan produk atau barang yang mereka jual. Namun kini, saya melihat situasinya sudah berbeza kerana seakan-akan penceramah segera di media sosial ini mempunyai tujuan untuk meraih pengikut dan membentuk kumpulan-kumpulan tertentu.

“Itu tidak mustahil kerana sebelum ini kumpulan pengganas Daesh juga menggunakan media sosial bagi mengumpul pengikut mereka. Kumpulan ini juga banyak menggunakan hadis-hadis palsu bagi menghalalkan perbuatan radikal mereka,” kata beliau sebagaimana dipetik Mingguan Malaysia.

Khamis lalu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) proaktif dalam menangani isu penularan hadis palsu.

Zahid berkata perkara itu tidak hanya tertumpu pada penerbitan bercetak sahaja, sebaliknya perlu dibuat secara menyeluruh merangkumi pelbagai medium lain termasuk media sosial.

Sementara itu Abdul Rahman berkata penularan hadis palsu ataupun hadis mauduk dalam masyarakat dilihat masih lagi terkawal.

“Jika ada yang mengguna dan mengamalkan hadis-hadis palsu ini saya percaya kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi serta tidak sedar akan kesilapan mereka itu.

“Gesaan Timbalan Perdana Menteri semalam tepat pada waktunya dan saya berharap selepas pemantauan secara proaktif oleh Jakim dan KDN tersebut sekali gus dapat mendorong penulis-penulis dan penceramah agama untuk bersandar kepada hadis-hadis yang sahih selepas ini,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Bagi Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad pula berkata, walaupun penularan hadis palsu ketika ini dilihat masih terkawal tetapi langkah proaktif bagi mengekangnya wajar diambil supaya tidak sampai ke tahap membimbangkan.

“Saya bersetuju dan menyanjung tinggi setiap usaha yang diambil bagi menangani penyebaran hadis palsu namun setiap tindakan perlu diambil dengan penuh ketelitian dan kerjasama semua pihak.

“Pengawalannya bukan hanya sekadar di bahan-bahan bercetak tetapi juga di ‘alam maya’ terutama fenomena baharu ketika ini iaitu kemunculan penceramah-penceramah segera yang menggunakan hadis palsu dalam setiap siri ceramah mereka,” beliau dilaporkan media sebagai berkata.

Tambahnya, usaha untuk mengawal ceramah oleh penceramah-penceramah segera terutama di media-media sosial mungkin sedikit sulit namun langkah menanganinya perlu diambil supaya penularannya tidak terus merebak.

Katanya, Jakim dan majlis agama negeri-negeri perlu memainkan peranan dengan memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa merujuk kepada pihak berwajib sekiranya tidak jelas mengenai sesuatu perkara.

 

Lihat Komen
ADS