Paling Popular
Terkini

Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) hari ini mengeluh ekoran kekurangan projek terhadap kira-kira 24,000 orang anggota mereka.

Presidennya, Tukiman Radion juga menganggap pihaknya kini dipinggirkan kerajaan kerana suara mereka tidak didengar.

Menurut Tukiman, walaupun telah beberapa kali menghantar surat kepada perdana menteri, Kementerian Kewangan dan beberapa lagi kementerian untuk mengadakan perbincangan, namun permohonan mereka ditolak.

"Kontraktor kelas F sekarang kekurangan projek di seluruh Malaysia. Ada juga projek yang tak sampai kepada kontraktor kerana adanya syarikat konsesi.

"Kita pernah tulis surat kepada kementerian tapi mereka tak mahu jumpa kita. Kita nak bincang untuk melestarikan projek-projek bagi kontraktor kelas F.

"Kita harap kerajaan dapat lihat semula dan beri peluang kepada semua 24,000 kontraktor kelas F yang berdaftar di seluruh Malaysia agar hidup kami gembira dan ada duit poket.

"Keadaan sekarang amat daif," katanya pada sidang media di pejabat Perkobf di ibu negara.

Pengagihan tidak telus

Selain itu, Tukiman memberitahu terdapat masalah lain yang dihadapi kontraktor kelas F ketika ini antaranya pengagihan projek yang tidak telus kerana menggunakan sistem berkomputer.

Justeru beliau meminta agar sistem pengagihan projek melalui undian manual dibuat semula bagi memastikan projek diberi secara telus.

"Kita minta supaya buat undian secara manual kerana dengan cara ini baru ia akan sampai ke kontraktor kelas F. Bukan dengan komputer kerana ia tidak akan sampai ke kontraktor kelas F.

"Undian manual ini dilihat lebih telus," katanya lagi.

Pada masa sama, Tukiman juga memberitahu, beliau sangat menyokong usaha kerajaan untuk menghapuskan orang tengah bagi mendapatkan sesuatu projek.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar pemberian projek kepada syarikat konsesi dihapuskan supaya sesebuah projek dapat diberi terus kepada kontraktor. .

Ini kerana, menurutnya, syarikat konsesi yang menjadi orang tengah dalam sesebuah projek kadang kala mendapat untung atas angin berbanding kontraktor kelas F.

Beliau turut mencadangkan agar pemberian had nilai kerja kepada kontraktor kelas F dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM350,000.

"Kita harap pihak kerajaan memandang semula pihak konsesi ini. Kita minta kerajaan mansuh (pemberian kontrak kepada syarikat konsesi) agar dapat terus (projek) pada kontraktor kelas F.

"Kita juga minta kerajaan memandang semula penilaian had kita. Kos sara hidup sekarang dah tinggi. Harga barang juga dah naik. Jadi kita minta naikkan had nilai kerja kerana dah hampir 16 tahun tak dinaikkan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS