Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahasiswa HARAPAN bantah pelan baru pengambilan PTD
Diterbitkan:  Feb 20, 2018 11:52 AM
Dikemaskini: 4:06 AM

Mahasiswa Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini membantah cadangan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa agar penawaran menjadi Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) hanya dibuka kepada graduan kelas pertama tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sahaja.

Kenyataan itu turut mempersoalkan sama ada pencapaian akademik semata-mata boleh digunakan untuk menilai kebolehan seseorang.

"Jika kebolehan PTD boleh diukur berdasarkan pencapaian akademik mereka, bolehkah kami guna cara pengukuran sama untuk menilai kebolehan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah)?" kata kenyataan itu hari ini.

Mahasiswa HARAPAN juga mendakwa polisi itu akan mendiskriminasi golongan graduan kelas kedua atas dan kelas kedua bawah.

"Kata (ketua setiausaha negara), beliau hanya mahu melihat sama ada kumpulan graduan cemerlang ini boleh melaksanakan tugas dengan baik atau tidak.

"Pihak kami berpendapat bahawa alasan eksperimen ini tidak boleh diguna pakai untuk situasi ini kerana perbandingan prestasi di antara golongan graduan kelas pertama dan golongan graduan kelas kedua atas dengan kelas kedua bawah sudah boleh dilakukan sekarang berdasarkan prestasi pegawai tadbir diplomatik bertugas daripada dua kelompok graduan ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas Ali dalam ucapan pada sesi Perjumpaan Bersama Pelajar Cemerlang Tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mini Karnival Kerjaya di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS) pada 13 Februari lalu.

Dalam ucapannya, Ali memaklumkan bahawa hanya graduan kelas pertama tajaan JPA akan ditawarkan peluang sebagai PTD dalam perkhidmatan awam bagi sesi pengambilan Julai dan Ogos ini.

"Kita mahu menjalankan eksperimen. Sebelum ini, kita ambil semua graduan kelas pertama, kelas kedua atas dan kelas kedua bawah.

"Sekarang kita mahu melihat sama ada kumpulan graduan cemerlang ini boleh melaksanakan tugas dengan baik atau tidak," kata Ali.

Sementara itu, Mahasiswa HARAPAN mempersoal sama ada ketua setiausaha negara cuba menyatakan bahawa 10,000 PTD yang kini bertugas di seluruh negara yang datang daripada graduan kelas kedua atas dan kelas kedua bawah tidak berprestasi sebaik PTD graduan kelas pertama?

Selain itu, Mahasiswa HARAPAN juga berpendapat bahawa polisi itu mendiskriminasi graduan-graduan yang tidak mendapat tajaan daripada JPA.

"Jika pihak JPA mahu menarik seramai mungkin graduan-graduan yang berbakat tinggi untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan pentadbiran diplomatik, bukankah ianya patut meluaskan jaringan sebesar mungkin ketika proses penilaian graduan untuk pengambilan di sektor ini.

"Adakah JPA berpendapat bahawa graduan kelas pertama yang telah mendapat sumber biasiswa daripada institusi awam ataupun swasta lain bermutu lebih rendah daripada graduan kelas pertama yang mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam?" katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Na’im Brundage (wakil mahasiswa PKR Malaysia), Khuzairi Mazlan (wakil mahasiswa AMANAH Nasional) dan Leong Yu Sheng (DAPSY Biro Hal Ehwal Varsity).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS