Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: HARAPAN gembira keputusan kes Indira
Diterbitkan:  Feb 20, 2018 7:10 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

PAS terus membangkitkan isu mengenai Akta 164 yang didakwanya telah menyebabkan polemik dalam masyarakat khususnya berhubung kes penukaran agama satu pihak membabitkan Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata segalanya berpunca daripada keputusan mahkamah selepas akta itu diluluskan di Parlimen, meskipun anggota Parlimen PAS cuba menghalang dengan undi belah bahagi.

"Manakala di pihak PH (HARAPAN), mereka bergembira akan keputusan ini. Bahkan mereka sanggup bekerjasama dengan Umno BN meluluskan akta ini dengan prejudis terhadap Islam, walaupun saban hari PAS yang difitnah mahu masuk Umno," katanya.

Idris berkata demikian dalam ucapannya sempena Himpunan Fastaqim PAS Kawasan Sik di Tapak Pasar Malam Gulau, di Sik kelmarin.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan takrif "ibu bapa" harus bersifat majmuk dalam keputusannya berhubung kes penukaran agama satu pihak membabitkan Indira Gandhi dan bekas suaminya.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Idris dalam pada itu menyeru anggota Umno mengundi PAS pada pilihan raya kali ini "demi menyelamatkan negara daripada terus rosak" kepada negara yang sejahtera bersama Islam.

"Umno sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk memimpin Islam di Malaysia ini, manakala di pihak PH juga tidak boleh disandarkan Islam kepadanya kerana DAP yang jelas menolak Islam berkuasa di dalamnya," tambah beliau seperti dilapor Harakahdaily.

Fitnah makanan AMANAH

Dalam ucapannya, Idris turut berkata fitnah menjadi "makanan tambahan dan vitamin" bagi Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana dendamnya terhadap PAS.

Katanya, AMANAH juga melakukan pelbagai cara untuk menjatuhkan parti Islam itu, termasuk memainkan 'isu jelek' seperti pakaian sedondon Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam majlis dihadiri mereka.

Namun ujar Idris, segala usaha parti serpihan PAS itu menemui jalan buntu.

Menurutnya, PAS bersama kerajaan dalam isu-isu melibatkan kepentingan Islam, kebajikan dan isu sejagat termasuk isu Rohingya dan Baitulmaqdis.

Sedangkan HARAPAN pula bersama kerajaan dalam urusan tertentu yang berkepentingan kepartian namun tidak dijadikan isu.

"Begitu juga bila PAS menolak (Tun) Mahathir (Mohamad) menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan memerintah, PAS dituduh menyokong Najib walhal Mahathir terkenal dengan skandal-skandal yang tak kurang hebatnya dengan Najib.

"Orang PAS tidak bodoh macam mereka hendak tuduh masuk Umno atau kerjasama dengan Barisan Nasional hanya kerana pakaian sedondon dan gambar bersama.

"Kita harapkan bodoh mereka itu simpan sikit dalam rumah banglo jangan tunjuk sangat," katanya

Lihat Komen
ADS