Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat Langkawi bukan bodoh, kata PKR
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 3:11 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Azman Ismail melabelkan peruntukan RM1.315 bilion yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk pembangunan di Langkawi sebagai tindakan terdesak menjelang pilihan raya umum ke-14.

Meskipun wakil rakyat PKR itu menyambut baik janji-janji pembangunan berkenaan, namun katanya, janji-janji itu ibarat 'gula-gula' menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Semakin hampir PRU bermacam-macam peruntukan kerajaan Umno BN umumkan untuk rakyat.

“Rakyat kena ingat bahawa kerajaan Umno-BN hanya pandai memberi kata-kata manis kepada rakyat semata-mata menjelang PRU14 in,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman mengingatkan perdana menteri bahawa penduduk di Langkawi bukannya bodoh untuk terpedaya dengan janji-janji BN.

“Saya suka mengingatkan kepada Najib dan kerajaan Umno BN supaya jangan cuba untuk memberi harapan palsu kepada rakyat kerana rakyat tidak bodoh lagi.

“Setiap kali PRU taktik sama digunakan oleh Umno BN untuk memenangi hati rakyat,” katanya.

Beliau berkata, janji-janji itu dipersoalkan kerana dibuat ketika musim pilihan raya sekarang,

“Langkawi adalah destinasi pelancongan yang dikenali seluruh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa.

“Tetapi kenapa baru sekarang Najib terfikir untuk naiktaraf kehidupan rakyat dan pembangunan di negeri itu?” soal Azman.

Langkawi adalah antara kerusi Parlimen yang calon perdana menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka bertanding.

Peruntukan RM1.3 bilion yang diumumkan oleh Najib itu adalah untuk pelaksanaan lima projek persekutuan baru di Langkawi di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Selain projek bernilai RM600 juta untuk menangani masalah bekalan air, peruntukan berkenaan juga adalah untuk pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi (RM500 juta), kuarters baru petugas kesihatan (RM135 juta), balai bomba dan kuarters baru di Padang Matsirat (RM30 juta) dan menaik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang-Pulapol Langkawi (RM50 juta).

Mengulas lanjut, Azman juga mengingatkan kepada Najib dan kerajaan Umno BN supaya tidak menggunakan taktik sama setiap kali pilihan raya untuk memenangi hati rakyat.

“Saya berharap kerajaan Umno BN, jangan ulangi janji yang tidak dapat ditunaikan dan dibiarkan sepertimana janji-janji terdahulu termasuk menyelesaikan isu air di Kedah,” katanya.

Menurutnya juga, rakyat perlu beringat bahawa kerajaan Umno-BN hanya pandai memberi kata-kata manis kepada rakyat semata-mata menjelang PRU14.

“Sedangkan mengikut pengamatan dan sejarah, Dr Mahathir pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Langkawi sejak 1955 lagi dan tidak pernah putus hubungan istimewa beliau dengan Langkawi.

“Malah, dengan perhatian khusus beliaulah Langkawi dibangunkan dengan menjadikannya sebagai pulau bebas cukai pada 1987 dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS