Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan aktivis Adam Adli daripada tuduhan hasutan.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh yang mengetuai panel tiga hakim berkata terdapat salah arahan oleh Mahkamah Sesyen yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

"Maka keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen tidak dapat dipertahankan," katanya.

Pada 2014, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Adam Adli. Namun ia ditukar kepada denda RM5,000 selepas rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwa membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi manakala Adam membuat rayuan silang terhadap hukuman.

Adam sebelum ini didapati bersalah membuat kenyataan berbaur hasutan dalam ceramah di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) pada malam 13 Mei 2013, seminggu selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Mengulas keputusan itu, Adam berkata beliau mendedikasikan kemenangan kepada semua yang pernah didakwa bawah Akta Hasutan dan kepada arwah bapanya yang dahulu sentiasa memberi sokongan sepanjang perbicaraan.

Bekas aktivis mahasiswa itu hadir ke mahkamah bersama ibunya Halijah Hashim, isteri dan anaknya yang berusia dua bulan.

Beliau berkata masyarakat, terutama golongan pelajar, perlu sentiasa bersuara ketika berhadapan ketidakadilan.

"Kita tidak seharusnya berdiam diri dan jika didakwa, jangan terlalu mudah mengaku bersalah tetapi terus melawan," katanya.

Peguamnya Gurdial Singh Nijhar berkata keputusan hari ini amat penting kerana hasutan dianggap sebagai selangkah lagi sebelum melakukan khianat (treason).

"Pejabat Peguam Negara perlu berhati-hati ketika membuat pendakwaan...Seruan melakukan perubahan tidak boleh dianggap sebagai tindakan jenayah," katanya.

Ketika penghujahan, Gurdial mempersoalkan bagaimana seruan Adam untuk berhimpun di jalan raya lima tahun lalu boleh dianggap sebagai menghasut kerana beliau turut menggesa orang ramai berpakaian sukan yang lengkap.

Beliau berkata ia bukan seruan untuk mengangkat senjata.

Lihat Komen
ADS