Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Daerah Batu Pahat mempunyai pantai menghadap Selat Melaka dari Sarang Buaya di utara (bersempadan daerah Muar) sehingga Tampok (sempadan daerah Pontian).

Ia memiliki sungai bercabang iaitu Sungai Simpang Kiri dan Sungai Simpang Kanan yang kemudian boleh bersambung ke Kuala Endau (Laut China Selatan).

Sungai bercabang ini ditanda Portugis sebagai Rio Fermoso.

Selain itu, Pulau Sialu yang terletak tidak jauh dari Pantai Minyak Beku masih berdiri kukuh bekas rumah api Minyak Beku yang dipercayai dibina pada 1 Mac 1894 dan ditamatkan perkhidmatannya apabila rumah api Bukit Segenting siap dibina pada tahun 1978.

Pentadbiran daerah Batu Pahat terbahagi kepada dua iaitu Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Majlis Daerah Yong Peng.

Kegiatan ekonomi Batu Pahat menarik untuk dikaji kerana pada kurun ke-19, terkenal dengan perusahaan kopi Lim Soon Poon di Bukit Penggaram, sistem kangcu lada hitam, gambir di bertam (hari ini Yong Peng) dan tanaman getah Tan Swee Hoo.

Kemudian pembukaan lombong bijih besi oleh syarikat Jepun dan tanaman getah oleh syarikat negara matahari terbit itu dan Cina.

Rumah api Bukit Segenting

Jasa Jepun pada daerah Batu Pahat, Johor yang pertama ialah pembinaan rumah api Bukit Segenting, Minyak Beku oleh The Malacca Strait Council Japan dengan biaya The Nippon Foundation.

Tiada orang awam yang tahu bahawa rumah api Bukit Segenting ini dibiayai pembinaannya oleh The Nippon Foundation kecuali jika pernah sampai ke pagar rumah api ini.

Berdasarkan maklumat papan tanda Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan:

Nama tempat: Batu Pahat
Negeri: Johor Darul Takzim
Kedudukan: 147.5 °U dan 102 53.4°T
Ciri ciri lampu: f1(4) w 30s
Julat penglihatan: 23 batu nautika
Ketinggian lampu: 86 meter
Ketinggian bangunan: 14 meter
Tahun dibina: 1976
Tahun siap: Mac 1978
Kos pembinaan: ¥27,045,813
Jurutera perunding: Sepakat Setia Perunding Sdn Bhd
Manufactured: Nam Hup Constuction Sdn Bhd & Gayuko Toki Kogyo Co-T

 

Rumah api Bukit Segenting ini terletak dalam parlimen Batu Pahat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang yang mula dibina pada 1976 dan siap dibina pada 1978.

Tidak banyak catatan berkaitan rumah api ini dan ia tertakluk dalam akta kawasan larangan 2001.

Persoalannya, kenapa Kerajaan Jepun bermurah hati menderma 27 juta Yen pada tahun 1976 bagi membiayai pembinaan rumah api ini.

Lombong besi Sri Medan

Jasa Jepun pada daerah Batu Pahat kedua ialah mengusahakan lombong bijih besi di Sri Medan (Tie Shan), lombong bijih besi terbesar di Malaya pada masa itu.

Pada tahun 1918, Ishara Sujikaisa Mining Company, syarikat lombong Jepun bawah seliaan British mengusahakan lombong bijih besi di Sri Medan (tapak lombong nombor 6 dan 7 ditukar menjadi Taman Botani Negeri Johor).

Pada tahun 1920-an, direkodkan pengeluaran 800,000 tan bijih besi setahun terhenti semasa Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1953, Malayan Mining Company, yang Tan Sri Lim Goh Tong menjadi lembaga pengarahnya. mengusahakan semula lombong bijih besi di Sri Medan.

Pada 1967, lombong ditutup atas sebab keselamatan.

Perusahaan getah di Batu Pahat

Jasa Jepun kepada daerah Batu Pahat ketiga ialah pembukaan ladang getah seperti jadual 1913 di atas.

N akuzawa membuka Batu Pahat Rubber Estate No 1 pada Mac 1909 dan Batu Pahat Rubber Estate No 2 pada Ogos 1911.

Namun pengurnian, pemberian atau pemajakan tanah untuk syarikat-syarikat Jepun yang ingin mengusahakan ladang di Johor adalah bawah kuasa setiausaha kerajaan negeri (SUK) (Fail 274/99).

SUK pertama adalah Datuk Seri Abdul Rahman Wan Andak (1893-1907).

SUK kedua Datuk Mohamed Mahbob (1907-14).

SUK akan memberi surat atau sijil kelulusan kepada pesuruhjaya kerajaan daerah tersebut.

Di Batu Pahat pada waktu itu ditadbir Datuk Bentara Luar Mohd Salleh Perang selaku wakil raja memerintah Batu Pahat.

Pada 1883, Datuk Bentara Luar bersama Datuk Mohamed Mahbob dan Mr W Hole mengiringi Maharaja Abu Bakar ke Jepun dan China pada 1883.

Kesimpulannya, kajian perlu dilakukan dengan mendalam memandangkan tiada penulisan ilmiah berkaitan sumbangan Jepun sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua yang melibatkan Jepun di daerah Batu Pahat.

Semoga tulisan awal ini menjadi permulaan kepada pengiktirafan sumbangan ekonomi kepada pembangunan daerah Batu Pahat pada abad ke-20.


Ulasan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS