Tan Sri Zaki, Nor Hayati setuju bincang kes perkahwinan mereka
Bekas timbalan pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Zaki Azmi dan seorang pengurus syarikat Nor Hayati Yahaya, telah bersetuju untuk berbincang bagi menyelesaikan kes status perkahwinan mereka, Mahkamah Rendah Syariah diberitahu semalam.
Bekas timbalan pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Zaki Azmi dan seorang pengurus syarikat Nor Hayati Yahaya, telah bersetuju untuk berbincang bagi menyelesaikan kes status perkahwinan mereka, Mahkamah Rendah Syariah diberitahu semalam.
Kes itu sepatutnya didengar semalam tetapi peguam syarie Azmi Mohamed Rais, yang mewakili Zaki dan Dr Mohamed Radzuan Ibrahim, peguam Nor Hayati, telah mengadakan perbincangan dengan Hakim Zaim Mohamed Udin di dalam kamarnya.
Zaki dan Nor Hayati tidak hadir di mahkamah.
Selepas memaklumkan hasrat anak guam mereka untuk berbincang bagi menyelesaikan kes itu kepada Hakim Zaim di dalam kamar, Azmi kemudian memberitahu pemberita bahawa kemungkinan kes itu akan diselesaikan di luar mahkamah.
Katanya, kedua-dua pihak sedang melakukan pelbagai usaha untuk menyelesaikan kes itu tetapi sehingga ini masih tiada sebarang persetujuan dicapai dalam tuntutan masing-masing.
Dalam pada itu, Radzuan berkata, mahkamah menetapkan 21 November ini untuk membuat keputusan berhubung bantahan awal pihaknya mengenai prosedur pemfailan dan dokumen berkaitan tuntutan plaintif.
Daftar 'perkahwinan'
Menurut laporan Bernama, pada 26 Julai lalu, Zaki, 60, memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan pernikahannya dengan Nor Hayati, 32, di Perlis pada Mei lalu sebagai tidak sah mengikut hukum syarak
Zaki juga mendakwa beliau telah menerima ugutan daripada responden bahawa dia akan memburuk-burukkan nama baiknya (Zaki) jika beliau tidak membayar RM10 juta dan tidak mengambil langkah untuk mendaftarkan `perkahwinan' mereka.
Nor Hayati, melalui afidavit pembelaannya pada 22 September lalu, memohon mahkamah menolak permohonan Zaki itu serta permohonan peguam itu untuk memfaraqkannya.
Selain itu, dia juga memohon mahkamah menolak permohonan Zaki untuk mengeluarkan perintah larangan terhadapnya (Nor Hayati), wakil, pekerja atau anggota keluarga supaya tidak menceroboh, mengganggu atau mengugutnya (Zaki) dengan apa cara sekalipun.
Sebaliknya, Nor Hayati turut mengemukakan permohonan yang sama terhadap Zaki.

