Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azeez tergamam, tak tahu tentang Zarul, Zenith, RM3 juta

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, yang menerima surat tuntutan daripada Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd berhubung kerja-kerja rundingan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang, menafikan beliau menerima RM3 juta daripada firma itu.

Azeez mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat tuntutan melalui pos berdaftar hari ini tetapi berkata dakwaan itu jelas tidak benar.

"Saya tidak pernah jumpa (CEO Zenith) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli (foto, bawah) dan saya juga tidak mempunyai urusan dengan syarikat pembinaan itu," kata Azeez kepada Malaysiakini.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai jutaan ringgit yang kononnya dibayar kepada saya, atau apa-apa kerja rundingan yang berkaitan dengan terowong itu," katanya.

Azeez yang berkata akan mendapatkan nasihat peguamnya dan akan “mengambil tindakan terhadap mereka."

"Jika saya terlibat dalam kerja rundingan, mesti ada perjanjian yang ditandatangani. Kamu tidak boleh sebarangan kata saya menerima wang melalui proksi," kata Azeez, merujuk kepada surat tuntutan yang diterimanya itu .

"Ramai orang kenal saya dan boleh jual nama saya, tetapi saya tidak pernah terima sebarang wang," katanya.

Azeez, yang juga adalah Pengerusi Tabung Haji, berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu selepas berbincang dengan peguamnya.

Beliau mengulas surat tuntutan Zenith yang dihantar pada 24 Februari lalu, di mana ahli politik itu dilaporkan menerima bayaran RM3 juta untuk kerja rundingan berkaitan dengan projek terowong.

Sumber juga memberitahu Malaysiakini bahawa Zenith turut mendakwa telah membayar RM19 juta kepada seorang ahli perniagaan untuk kerja rundingan.

Zenith merancang untuk menyaman kedua-dua mereka kerana mendakwa mereka gagal melaksanakan tugas masing-masing.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS