125 permohonan batalkan kes habeas corpus ditolak mahkamah
Sebanyak 125 kes jenayah serius telah ditolak oleh pihak mahkamah sebelum ia dibicarakan sejak 2004 hingga sekarang, disebabkan aspek atau masalah teknikal.
Sebanyak 125 kes jenayah serius telah ditolak oleh pihak mahkamah sebelum ia dibicarakan sejak 2004 hingga sekarang, disebabkan aspek atau masalah teknikal.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar berkata, semua permohonan ini - membabitkan kes-kes habeas corpus yang berjaya diperolehi pihak pemohon - ditolak berpunca daripada afidavit yang tidak lengkap, peguam gagal hadir ke mahkamah dan kesilapan prosedur tahanan.
"Sebenarnya, kalau betul-betul pergi perbicaraan, kebanyakan daripada kes tersebut memang kita boleh menang, kalau kalah pun kita boleh merayu. Tetapi kalau kalah sebelum perbicaraan bermula, susahlah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Pada 2004, sebanyak 441 kes habeas korpus telah difailkan dan daripada jumlah itu sebanyak 75 kes memihak kepada pempetisyen dan hanya 33 kes dimenangi kerajaan.
Dari Januari-3 Oktober 2005, 299 kes telah difailkan dan 50 kes dimenangi pempetisyen dan 28 kes memihak kepada kerajaan.
Beliau berkata, masalah berhubung penyediaan afidavit yang perlu disediakan dalam tempoh tiga minggu selepas permohonan habeas corpus difailkan, adalah berikutan kekurangan peguam.
Penyediaan afidavit
Menurut laporan Bernama, pada masa ini, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri hanya mempunyai empat peguam kanan persekutuan yang terpaksa mengendalikan beratus-ratus kes selain menyediakan afidavit, katanya.
Bagi mengatasi masalah itu, katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam telah meluluskan pengambilan 16 peguam baru bagi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang akan diisi sebelum akhir tahun ini.
"Bila kita dah ada ramai peguam, tidak akan timbul lagi masalah afidavit yang tidak lengkap atau peguam tidak dapat hadir ke mahkamah kerana ada kes lain atau sakit," kata Noh.
Selain itu, katanya, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri juga telah membuat perubahan dalam prosedur penyediaan afidavit di mana ia akan disediakan sejurus tangkapan dibuat.
Dengan ini, katanya, pihak peguam mempunyai banyak masa untuk menyediakan afidavit terbabit dan tidak hanya menunggu sehingga permohonan habeas corpus difailkan untuk menyediakannya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.